Page 10 - Monograf Persuratan Melayu
P. 10
Monograf Persuratan Melayu 2022
orang Melayu yang menggembleng kelangsungan agama Islam dan adat budaya dalam
kehidupan.
Makalah seterusnya yang bertajuk “Tepak Sirih : Tautan Komunikasi Orang
Melayu”, Siti Salamah binti Mohamad Yusof menghuraikan tepak sirih sebagai simbol
komunikasi bukan lisan dalam adat perkahwinan Melayu terutama sekali dalam adat
meminang. Peringkat adat meminang merupakan satu peringkat untuk mendapatkan
kepastian samaada ‘permintaan’ daripada pihak lelaki diterima oleh pihak perempuan.
Adunan komunikasi lisan dan bukan lisan dengan menggunakan tepak sirih sebagai
simbol (signifier) sangat harmoni dan tertib dilakukan. Kajian ini menunjukkan bahawa
setiap budaya yang dicipta oleh masyarakat sebenarnya adalah untuk menunjukkan
ketinggian budi dan akal masyarakat penciptanya dengan cara yang paling harmoni dan
simbolik.
Dengan menjadikan sajak-sajak dalam ‘Umpama Mutiara’ karangan Nawawee
Mohamad, sebagai bahan kajian, Maniyamin@Nassury Ibrahim mengupas “Citra
Manusia dalam Kumpulan Sajak ‘Umpama Mutiara’ Karya Nawawee Mohamad” dengan
menggunakan pendekatan sosiologi dan penulis melimitasikan kajiannya dengan memilih
sajak-sajak yang terdapat gambaran manusia dan aktivitinya. Umumnya, sajak-sajak
dalam ‘Umpama Mutiara’ terbahagi kepada dua kategori, iaitu sajak-sajak yang
ditujukan kepada kaum remaja, dan sajak-sajak rakaman peribadi penyair. Hal ini
menyebabkan kesannya juga terbahagi dua, iaitu memberi kesan langsung sebagai
ikhtibar dan pengajaran bagi memenuhi tujuan dan harapan, bukan sahaja tujuan dan
harapan penyair, malahan tujuan dan harapan kita, terhadap generasi dan masa depan
negara. Manakala, sebahagian lain sajak-sajak Nawawee adalah cantik dan indah dari seni
sasteranya, namun tidak jelas fungsinya terhadap kaum remaja. Malah, sajaknya yang
berjudul ‘Umpama Mutiara’ yang sekali gus diangkat sebagai judul kumpulan sajak
remaja ini, adalah kurang berwacana dalam konteks pembinaan sahsiah remaja, apalagi
bagi awal remaja dalam lingkungan usia 13 – 17 tahun. Lazimnya, pada peringkat ini,
mereka berada dalam alam persekolahan. Keseluruhannya Nassury menzahirkan
harapannya agar perjuangan mendidik anak remaja diteruskan dengan penghasilan karya
yang terus dapat mendidik anak remaja itu secara tuntas.
Pemakalah yang terakhir, Dr Wan Norlidza Wan Mohd Zain mengutarakan tajuk
“Falsafah dan Pemikiran Melayu Melalui Karya Sastera Nasional Membentuk Negara
Bangsa”. Pemakalah mengupas falsafah dan pemikiran dalam novel ’Arus” karya
Sasterawan Negara Anwar Ridhuan yang dijadikan karya sastera nasional. Beliau
menyatakan betapa pentingnya menghargai karya-karya sastera nasional terutamanya
4