Page 12 - Monograf Persuratan Melayu
P. 12
Monograf Persuratan Melayu 2022
Bilur-Bilur Islami Dalam Teks Syair Asyiqin
Mohd. Fauzi bin Abdullah
Pendahuluan
Perkembangan sastera Melayu tradisional pada dekad akhir abad ke-16 menonjolkan
istana sebagai pusat perkembangan sastera. Penulisannya didominasi oleh ulama-ulama
setempat yang gigih menyebarkan agama Islam melalui institusi pondok yang bertebaran
di Tanah Melayu dan Nusantara umumnya. Kerajaan khasnya istana Pahang turut
melahirkan hasil sastera yang hebat antaranya Hukum Kanun Pahang untuk
mengukuhkan pentadbiran negara kota. Di sebalik mekarnya kegiatan sastera
menumbuhkan minat dalam kalangan ulama dan guru agama menghasilkan larik-larik
kreatif seperti pantun, syair, hikayat, cerita bagi menimbulkan minat dalam pengajaran
ilmu agama masing-masing. Antara ulama Pahang yang menonjol adalah Tok
Syahibuddin bin Zainal Abidin bin Tuk Suji Bilang (1650-1770) yang mempunyai
pengajiannya sendiri di Kampung Berhala Gantang (Kampung Balik Gantang/ Kampung
Balai Gantang) di daerah Temerloh. Dalam catatannya Aripin Said (hal.3), menyatakan
Tok Syahibuddin dilahirkan di Kampung Berhala Gantang terletak kira-kira 20 km di
sebelah hulu bandar Temerloh, sebuah kampung di tebing sungai Pahang. Adapun asal
nama Kampung Berhala Gantang mengambil sempena tunggul sebatang pokok di tepi
tebing sungai Temerloh di kampong tersebut berukuran sebesar gantang. Penduduk selalu
“mengala” atau “berhala” (berhadapan antara satu sama lain mengelilingi tungul pokok
tersebut) bagi menyelesaikan sesuatu masalah yang berlaku di kampung tersebut.
Akhirnya tempat tersebut dikenali Kampung Berhala Gantang (temu bual dengan Aripin
Said, 21 Sept 2022). Tok Syahibuddin hidup selama 120 tahun dan sejak umurnya 15
tahun mula mendalami dan menyebarkan Islam pada masyarakat setempat. Meninggal
dunia di kampong tersebut pada tahun 1770. Menurut Aripin lagi, Tok Syahibuddin hidup
pada zaman Negeri Pahang di bawah penguasaan Sultan Johor–Pahang, yakni pada
zaman Pahang dalam pegangan Bendahara di bawah naungan Yam Tuan Muda Riau,
pemerintah pada ketika itu. Keamanan serta hubungan diplomatik yang baik antara
Pahang-Johor-Riau membolehkan usaha pengembangan agama Islam dapat dilakukan
dengan sebaiknya.
Sehubungan dengan hal itu, Tok Syahibuddin (Tok Budin) selesa melaksanakan
misi dakwah serta memantapkan pendidikan Islam sekitar wilayah yang didiami serta
kawasan yang dilawati. Pengajian Islam telah bertapak dengan baik di penempatan
Melayu pada ketika itu. Pengajian di Kampung Berhala Gantang juga meriah dengan
kegiatan keagamaan, kehadiran Tok Guru dari luar, serta pembukaan surau dan pondok-
6