Page 30 - E-Book_Neat
P. 30
TIPS MENULIS SKRIP DRAMA DAN FILEM
Apabila kita menghasilkan cerita dengan segala perwatakannya, tema dan ruang
tempat, kita sebenarnya terlibat dengan penciptaan. Segala perwatakan, tema dan
ruang masa serta tempat mempunyai peraturannya sendiri sebagaimana sebuah
dunia dicipta. Sebab itu penulis drama sering dikatakan mencipta sebuah dunia.
Akan tetapi dunia bagaimanakah yang dicipta itu? Bagaimanakah kehidupannya?
Drama mengangkat atau meniru realiti (kehidupan), tetapi realiti yang bagaimana?
Oleh itu realiti sesebuah drama perlu dilihat dalam konteks ceritanya, perwatakan
dan temanya. Di sinilah logik drama tersebut diukur.
Watak dan Perwatakan
Sebuah skrip drama yang baik mesti mempunyai watak-watak yang mampu
membawa cerita untuk terus berkembang. Watak-watak inilah yang menjadi
cerita, dan kuasa merekalah yang menghidupkan cerita. Oleh itu watak ialah
elemen terpenting dalam drama. Wataklah yang menggerakkan plot cerita. Dalam
sesebuah drama terdapat watak utama dan watak sampingan. Selalunya dalam
sesebuah drama terdapat satu watak utama, tetapi pada saya sesebuah drama
mempunyai dua watak utama, iaitu watak protagonis (watak yang menyokong
idea penulis) dan watak antogonis (watak yang menentang idea penulis).
Pertentangan idea ini akan menimbulkan konflik dan pertentangan konflik inilah
yang membentuk struktur konflik dramatik yang menarik. Watak sampingan ialah
watak-watak yang lain yang menyokong protagonis ataupun antogonis atau watak-
watak yang melengkapkan cerita.