Page 93 - e-Dinamik
P. 93
KLINIK ASAS PENGAJIAN AL-QURAN
Dr. Noor Sufiawati Khairani, Fazrul Hanim Abd Sata,
Noor Hidayah Ab Aziz, Nadzira Yahaya & Nor Hafizah Abd Mansor
Majoriti pensyarah UiTM Cawangan Johor adalah beragama Islam. Adalah amat penting agar
kualiti dan kecemerlangan mereka sentiasa dipelihara malah ditambahbaik kerana para
pensyarah merupakan aset utama UiTM Cawangan Johor sebagai sebuah institusi pengajian
tinggi. Sebagai seorang Islam yang baik, seseorang pensyarah amat terdorong untuk bekerja
dengan cemerlang dan berkualiti kerana motivasi dirinya sendiri yang bertanggungjawab
untuk melaksanakan tugas sebagai hamba dan khalifah Allah.
Seperti orang Islam lainnya, amalan membaca, memahami, mempelajari serta menghayati Al-
Quran merupakan suatu tanggungjawab dan ibadah yang penting dalam kehidupan
seseorang pensyarah beragama Islam. ‘Kitab Allah’ ini memberi banyak kelebihan kepada
pembacanya. Berdasarkan hadith-hadith Rasulullah S.A.W. yang diriwayatkan oleh al-
Bukhari dan Muslim misalnya, amalan membaca Al-Quran antara lain diyakini dapat
membuat seseorang berperilaku baik dan suka berbuat kebaikan. Amalan membaca Al-
Quran juga boleh memberikan darjat dan wibawa yang lebih baik kepada pembacanya.
Kajian-kajian saintifik juga telah menunjukkan bahawa bacaan Al-Quran memberi pelbagai
kesan baik kepada manusia. Hasil kajian Nur Hidayah & Sharifah Norshah Bani (2018)
sebagai contoh, menunjukkan bahawa bacaan Al-Quran memberi kesan positif terhadap
fizikal, mental dan emosi manusia.
Menyedari itu, Fakulti Perakaunan telah mengadakan Klinik Asas Pengajian Al-Quran pada
tahun 2018 sebagai platform kepada para pensyarah fakulti mempelajari dan memperbaiki
bacaan Al-Quran masing-masing. Matlamat akhirnya adalah peningkatan kualiti diri dan kerja
pensyarah yang seterusnya menyumbang kepada kemajuan dan kecemerlangan Fakulti
serta UiTM Cawangan Johor. Klinik Asas Pengajian Al-Quran ini telah diteruskan pada tahun
2019 dengan penyertaan bukan sahaja daripada para pensyarah Fakulti Perakaunan, tetapi
juga daripada para pensyarah fakulti lain.
84