Page 37 - Monograf Persuratan Melayu
P. 37
Monograf Persuratan Melayu 2022
Mari kita ke ladang
Kita menanam kacang (2 kali ulang)
Jangan bimbang hati senang
Mari kita ke ladang (Ulang 4 kali)
Lagu ini adalah ciptaan Seniman Negara, Tan Sri P. Ramlee yang dihasilkan pada
tahun 1959, manakala liriknya ditulis oleh S. Sudarmaji dan dinyanyikan oleh Rahmah
Rahmat. Liriknya jelas menunjukkan betapa ceria dan gembiranya masyarakat Melayu
tradisional keluar bekerja mencari rezeki sebagai petani. Walaupun kehidupan mereka
tidak mewah, namun masyarakat kampung saling bekerjasama dan bantu membantu
membanting tulang untuk mencari rezeki. Semasa mencari rezeki mereka saling bergurau
senda dan saling memberikan kata-kata semangat seperti ayat, “Jangan bimbang hati
senang” yang diulang-ulang sebanyak tiga kali. Selain itu, terdapat ayat yang mengingat
dan menyeru untuk bekerja, iaitu “Mari kita ke ladang” dan “adik, kakak dan abang, mari
kita ke ladang”.
Walaupun mereka hanya ke ladang untuk menanam kacang, namun mereka
bekerja keras untuk mendapatkan rezeki menyara hidup. Kehidupan mereka pada ketika
itu juga sangat mudah tanpa banyak pilihan yang ditawarkan. Frasa “Bangun segera
waktu fajar, sedang menyinsing”, menunjukkan sikap masyarakat Melayu pada ketika itu
sudah tahu akan kepentingan masa dan disiplin. Orang Melayu tradisional amat
mementingkan masa dan menganggap bangun seawal pagi dan mencari rezeki adalah dua
aktiviti yang menjadi kewajipan serta dianggap sebagai sebahagian daripada ibadah. Dari
sudut etika pemikiran, masyarakat Melayu tradisional jelas mempunyai sistem hidup
yang sangat ringkas dan tidak mempunyai suatu wawasan hidup yang kompleks untuk
menghadapi dunia luar yang lebih mencabar.
Lagu kedua ialah “Umpan jinak di air tenang” nyanyian Datuk Ahmad Jais yang
dihasilkan pada tahun 1969. Berikut lirik lagunya,
Umpan jinak di air tenang
Terdengar merdu hanya dendangan
Madah berbunga alun suara
Terdengar merdu hanya dendangan
Wajah yang indah ditatap saja
Hati yang satu digadai jangan
Wajah yang indah ditatap saja
31