Page 35 - Monograf Persuratan Melayu
P. 35
Monograf Persuratan Melayu 2022
atau ditulis selepas lagu atau puisinya telah ditulis. Seorang yang menulis lirik dipanggil
penulis lirik. Maksud yang diberikan dalam rangkap lirik boleh bersifat tersurat atau
tersirat. Sesetengah lirik adalah terlalu abstrak sehingga tidak dapat difahami. Tanpa
lirik, lagu tidak membawa sebarang erti. Begitu juga kata-kata yang ditulis tanpa
dipadankan dengan melodi tidak ada beza dengan sebuah sajak. Ia berbeza dengan muzik
yang perasaannya dijelma dan ditimbulkan oleh nada dan harmoni dalam setiap instrumen
dalam muzik tersebut.
Manakala, lirik lagu amatlah penting dalam sesebuah lagu kerana akan
menggambarkan keseluruhan lagu tersebut. Pada kebiasaannya, kita akan lebih mudah
tertarik pada lirik lagu yang mudah berbanding yang terlalu tersirat. Lagu dan lirik tidak
boleh dipisahkan, kerana tanpa lirik lagu tidak membawa sebarang makna. Lagu dan lirik
dinyanyikan untuk menjadikan ianya suatu penciptaan karya yang sempurna dan
membawa makna. Nyanyian pula adalah syair yang dilafazkan dengan nada, ritme, irama
dan melodi yang sesuai sehingga membentuk harmoni. Nyanyian sering juga disebut
sebagai lagu yang bererti gubahan seni nada atau suara dalam urutan kombinasi dan
hubungan temporal (biasanya diiringi dengan alat muzik) untuk menghasilkan gubahan
muzik yang mempunyai kesatuan dan kesinambungan (mengandungi irama). Ragam
nada atau suara berirama disebut sebagai lagu. Menyanyi adalah suatu cara melafazkan
sesuatu seni bahasa bersesuaian dengan nada, ritme dan melodi tertentu sehingga
membentuk kombinasi yang seimbang dan harmoni.
Lirik lagu memerlukan elemen seni bahasa untuk menjadikan sesebuah lagu itu
bernilai tinggi atau sebaliknya. Kesenian itu didefinisikan oleh Herberth Read sebagai
satu usaha untuk mencipta bentuk-bentuk yang menyenangkan dan seni itu juga
dijalinkan pula dengan rasa estetika’ (Ismail Hamid, 1991:160) Keindahan lirik lagu
merujuk kepada kreativiti dan pandangan hidup masyarakat yang melahirkannya. Ia
adalah satu usaha kreatif dan inovasi masyarakat Melayu tradisional khususnya untuk
menyebatikan bahasa dengan kehalusan pemikiran yang digubah dengan penuh hikmah
dan kesenian. Seringkali pula lagu-lagu Melayu klasik ini dirujuk sebagai ‘pancaran nilai
dan minda masyarakat Melayu tradisi.’ Seorang pendengar puisi tradisional yang
mempunyai tahap intelek dan minat yang mendalam akan menikmati sesebuah karya
puisi atau lirik lagu melalui tiga sfera minda iaitu, sfera pengubatan psikik iaitu pada aras
hiburan atau eskapisme jiwa, sfera cerminan didaktik iaitu aras didikan atau pengajaran
moral yang diperoleh hasil dari karya tersebut dan sfera penikmatan kerohanian iaitu
intuisi akal dan rasa atau kejiwaan. Puisi yang terkandung dalam lirik lagu harus mampu
memberi makna dan dapat memberikan kepuasan pembaca secara sepenuh jiwa.
29