Page 31 - Monograf Persuratan Melayu
P. 31

Monograf Persuratan Melayu                                                       2022


               umum agar umat Islam lainnya dapat bersama-sama mengamalkan ajaran Islam sebenar
               yang mentauhidkan Allah. Berkaitan kaedah mengajar agama menggunakan syair, Aripin
               menjelaskan Tok Budin tidak mendendangkan syair, beliau hanya membaca secara biasa
               sahaja teks tersebut. Namun anak muridnya kemudian telah melagukan syair berkenaan
               dengan pelbagai irama, bagi memantapkan ingatan. Sehingga tahun  2000 terdapat
               beberapa orang anak murid Tok Syaibuddin yang masih lagi dapat menyanyikan irama
               syair seperti asal,  antaranya Mak Ngah Sharifah, cucu Qadi  Ibrahim. Sekarang
               bilangannya sudah berkurang atau mungkin sudah tidak ada lagi yang boleh melagukan
               syair. (temu bual dengan Aripin Said, 21 Sept 2022)

               Kesimpulan

               Meneliti secara saksama larik-larik Syair Asyikin pengkaji menyimpulkan teks ini sebagai
               teks karya kreatif syair dengan bahasa indah dan amat puitis. Ketinggian bahasanya dapat
               diteliti berdasarkan  penggunaan imej, lambang, simbol  dan kiasan tersirat bagi
               menyampaikan isi pengajaran. Teks keagamaan ini memaparkan pengajaran ilmu fikah
               dan tauhid yang bernilai tinggi. Pengajaran agama disampaikan dengan menggunakan
               bentuk syair kerana genre ini sangat digemari pendengar. Malah Hamzah Fansuri (1996)
               ulama Acheh abad ke-16 yang memperkenalkan bentuk syair juga menggunakan genre
               ini untuk mengajar agama melalui karya-karya sufi seperti Syair Perahu, Syair Sidang
               Fakir, Syair Burung Pingai, Syair Burung Pungguk, Syair Dagang. Fenomena ini selaras
               dengan penjelasan  Braginsky (1994) yang mengaitkan  proses Islamisasi  melahirkan
               kesedaran sastera Melayu sebagai salah satu sastera dunia yang membentuk sistem sastera
               Melayu yang lengkap. Sistem sastera ini menyerupai beberapa lingkaran konsentrik yang
               melingkari pusat yang satu iaitu teks-teks keagamaan penting yakni al-Quran, hadis dan
               syarahan–syarahan agama. Teks-teks ini selain berfungsi untuk hiburan,  memberi
               manfaat nilai dan pada tahap tingginya berperanan sebagai wacana penghayatan intuitif
               Haq  Ter’ala. Dalam kata lain untuk menikmati keagungan Allah berdasarkan jalan
               mentauhidkan  Yang Esa.  Dalam konteks inilah  pengkaji merumuskan  Syair Asyikin
               memaparkan bilur-bilur Islami berupa pemikiran, nasihat, pengajaran, panduan malah
               kritikan ke arah mentauhidkan Allah. Teguran yang diberikan Tok Syahibuddin melalui
               pengajarannya ternyata  memberi bilur dan kesan fikir-rasa  mendalam kepada anak
               muridnya. Ternyata bilur-bilur Islami yang ditinggalkannya membolehkan pengajaran
               agama  Islam terus bersemarak melalui insitusi pondok di Malaysia khususnya di
               Kampung Berhala Gantang sehingga ke hari ini. Penubuhan Sekolah Pondok Al-Wosto
               dan Maahad Tahfiz Madrasah Al-Amin membuktikan hal ini. Ulama pelapis yang lahir
               dari pengajaran agama Tok Syahibuddin menjadi benteng mempertahankan akidah dan
               ketauhidan umat Islam seluruhnya. Terima kasih buat Tuan Guru Tok Syahibuddin Zainal
               Abidin, ulama dan sasterawan Pahang. Al- Fatihah.





                                                         25
   26   27   28   29   30   31   32   33   34   35   36