Page 39 - Monograf Persuratan Melayu
P. 39
Monograf Persuratan Melayu 2022
dengan nasihat mengingatkan muda mudi khususnya supaya tidak terlalu taksub dalam
alam percintaan sehingga dengan mudah mempercayai segala kata-kata manis dan janji-
janji palsu yang akhirnya akan menyebabkan diri sendiri terpedaya. Sekiranya ingin
menjalin sesuatu hubungan dengan seseorang yang berkenan di hati kita harus menjaga
batasan jangan jadikan diri sebagai hamba percintaan yang mudah sangat tergoda dengan
janji-janji yang belum pasti dapat ditunaikan oleh kekasih kerana belum tentu lagi kekasih
kita itu akan menjadi suami/isteri anda satu hari nanti. Jelas di sini elemen sosiobudaya
masyarakat Melayu mementingkan kesantunan dan prinsip kehidupan yang berkaitrapat
dengan hukum hakam agama Islam.
Jadi nasihat ini ditujukan khususnya kepada anak-anak muda yang selalunya
mudah lupa diri apabila dilamun asmara. Sosiobudaya masyarakat Melayu yang sentiasa
memberi nasihat dan saling ingat mengingati adalah amalan yang menjadi tunjung kepada
keharmonian dan toleransi dalam kehidupan di kampung-kampung di mana mereka
tinggal. Satu perkara penting adalah elemen menjaga hati. Hati adalah bahagian penting
dan berupa roh dalam diri manusia. Segala perbuatan baik dan buruk adalah ditentukan
hati.
Terdapat beberapa ungkapan yang digunakan menggambarkan ketinggian etika
pemikiran masyarakat Melayu tradisional. Antaranya, ‘Wajah yang indah ditatap saja
Hati yang satu digadai jangan’. Rupa wajah adalah kejadian Allah SWT yang tiada siapa
mampu menafikannya. Sebagai manusia, kita sering menilai seseorang berdasarkan rupa
paras mereka. Wajah yang cantik, tampan, jelita,dan sebagainya sering menjadi pujian
dan mendapat perhatian. Maka sewajarnyalah pemilik wajah tersebut menghargainya
dengan menjaga keseluruhan anggota yang lain termasuklah hati. Walaupun hati tidak
seperti wajah yang dapat dilihat, namun sekiranya hati ini tidak dijaga dan dibiarkan
mengikut perasaan, maka sesuatu perkara yang buruk akan menimpa pemilik wajah yang
indah itu.
Bait-bait kata lagu ini mengingatkan anak-anak muda yang sedang dilamun cinta
khususnya agar sentiasa beringat agar jangan mudah memberi kasih sayang kepada
sembarangan orang. Kelak, sekiranya tersalah memberi akan menjadikan kehidupan
seseorang itu musnah. Gambaran tersebut dikaitkan pula dengan bait kata, ‘ jinak merpati
makan di tangan, jangan dikurung di sangkar hati’, yang menggambarkan kehidupan
manusia yang terkurung dan tidak bebas. Segala keperluan disediakan, namun hatinya
tersiksa. Di sini unsur alam seperti flora dan fauna digunakan bagi mengindahkan
perumpamaan dalam lirik lagu tersebut.
33