Page 91 - Dimensi Baharu Zakat di Malaysia
P. 91
© DIMENSI BAHARU ZAKAT DI MALAYSIA
ISBN 978-967-2959-04-5
Daripada tiga situasi yang dinyatakan, wasilah pemberian harta
yang asalnya diharamkan berubah menjadi harus sekiranya dapat
menjamin pemeliharaan maqasid al-shari’ah. Menilai premis ini
dalam isu zakat orang bukan Islam, tidak dinafikan, terdapat kes-kes
mutakhir ini melibatkan penghinaan terhadap Islam (Muhammad
Safwan H., Luqman H. A., Muhammad Ikhlas R., 2018), namun
tindakan tersebut tidak melambangkan permusuhan yang getir
antara masyarakat muslim dengan bukan muslim. Ini bermaksud,
mahal al-hukm iaitu masyarakat bukan muslim dalam realiti
Malaysia tidak memiliki ‘illah hukum asnaf muallafah qulubuhum
seperti yang dinaskan iaitu istijlab (al-Buti, 1973). Dalam erti kata
lain, tiada keperluan untuk memberikan zakat kepada bukan muslim
atas asnaf muallafah qulubuhum di negara ini. Bahkan, saudara baru
Islam dalam konteks Malaysia adalah berbeza dibandingkan zaman
awal Islam. Hal ini kerana, kemasukan mereka ke dalam Islam
adalah disebabkan keizzahan Islam di bumi ini di samping berasa
selamat menganut agama yang hak. Hal ini berbeza jika diperhalusi
sewaktu zaman awal Islam di mana kaum muslimin yang baru
memeluk Islam masih berasa ragu-ragu bahkan khuatir menerima
ancaman daripada pihak kuffar. Apa yang pasti, realiti tersebut tidak
berlaku dalam suasana negara Islam seperti Malaysia. Sebaliknya,
dalam kes melibatkan saudara baru yang miskin atau faqir, maka
zakat wajar disalurkan kepada golongan ini atas asnaf faqir dan
miskin.
Pandangan kajian berkaitan isu ini turut mengambilkira isu yang
hampir sama yang telah diputuskan oleh Jabatan Mufti Wilayah
Persetuan (2018). Dalam maksud yang lain, al-takyif al-fiqhi telah
dilakukan dengan merujuk kepada pandangan fekah yang telah
diputuskan hukumnya dalam permasalahan yang hampir serupa
(Uthman Shubayr, 2014). Keputusan tersebut adalah berhubung
dengan permasalahan menggunakan dana zakat untuk disalurkan
kepada Tabung Harapan Malaysia yang ditubuhkan untuk
melangsaikan hutang negara (Zakiah Hanum, 2019). Sungguhpun
tujuan tersebut adalah baik, namun penerima dana zakat dalam isu
ini tidak terarah (Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, 2018)
termasuklah mungkin diperoleh oleh mereka yang bukan Islam.
82
82