Page 15 - 067573 laporan tahunan LPPKN
P. 15
LAPORAN PENGANJURAN SEMINAR KEPENDUDUKAN NEGERI SELANGOR 2024 (SKNS 2024)
Dalam erti kata lain, pilihan tersebut dibuat berdasarkan pengimbangan realiti-realiti semasa.
Dalam konteks kadar kesuburan dan kelahiran, Malaysia harus mengenal pasti faktor yang
menyumbang kepada pilihan keluarga untuk tidak melahirkan anak, atau tidak menambah
bilangan anak. Apakah keperluan ataupun realiti sebenar yang dihadapi keluarga-keluarga di
Malaysia? Apakah jenis pelaburan, undang-undang, kerjasama atau perubahan sosial yang
diperlukan untuk meyakinkan dan menyokong keluarga di Malaysia untuk membuat pilihan
untuk menambah bilangan anak?
Oleh itu, bagi menangani isu kadar kesuburan, amatlah penting untuk kita memberi fokus
kepada keperluan sosioekonomi dan dinamik masyarakat hari ini. Penekanan ini merangkumi
pelaburan kewangan, penggubalan dasar dan undang-undang, serta penubuhan ekosistem
sosial yang mampu menangani segala kelompongan yang wujud sepanjang kehidupan
rakyat. Lanjutan daripada itu, dalam usaha Malaysia mencapai Matlamat Pembangunan
Lestari 2030, setiap rakyat Malaysia, tanpa mengira gender, umur atau keupayaan, harus
diberikan peluang untuk menyumbang secara sama rata kepada pembangunan negara.
Dalam pada itu, segala pelaburan wang, masa, akses, dan peluang yang disediakan oleh para
ibu bapa kepada anak-anak mereka perlulah berada pada kadar yang optimal, bagi
memaksimumkan potensi dan pilihan kanak-kanak tersebut.
Sempena tema Hari Penduduk Sedunia tahun ini iaitu “Kuasa Data yang Menyeluruh Ke Arah
Masa Depan yang Berdaya Tahan dan Saksama untuk Semua” - saya ingin menekankan
kepentingan pengumpulan data dalam penggubalan dasar yang inklusif serta berasaskan
bukti supaya tiada seorangpun yang ditinggalkan (Leave No One Behind). Sehubungan
dengan itu, Selangor selaku negeri yang mempunyai ekonomi dan penduduk terbesar di
Malaysia mempunyai peluang untuk menerajui langkah ke arah mengutamakan pengumpulan
data yang terpisah (disaggregated data collection) - terutamanya dalam konteks gender -
untuk memandu penggubalan dasar yang menyeluruh. Tambahan pula, pengumpulan data
daripada kumpulan rentan seperti masyarakat luar bandar, orang asli dan individu tidak
bernegara dapat meningkatkan pemahaman kita terhadap keperluan golongan rentan ini. Ini
membantu kita untuk mengenal pasti langkah yang terbaik bagi meningkatkan akses
golongan rentan ini kepada perkhidmatan penting, termasuk perkhidmatan kesihatan dan
kesihatan reproduktif.
Beliau juga mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada LPPKN kerana telah melancarkan
Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia ke-6 baru-baru ini, yang kini ditambah baik untuk
merakamkan lebih banyak realiti penting di lapangan - termasuk data penting yang berkaitan
15