Page 285 - rise 2017
P. 285
tentang aspek kerohanian ia secara langsung berpaksikan kepada pengukuhan elemen nilai yang perlu ada
di dalam diri setiap pelajar. Jelas di sini menunjukkan pihak kementerian amat menitik beratkan
pembangunan akhlak disamping melahirkan pelajar yang cemerlang dari sudut akademik di seluruh
sistem pendidikan yang bernaung dibawahnya yang terdiri daripada pra sekolah, sekolah kebangsaan,
sekolah menengah dan institusi pengajian tinggi termasuk Politeknik Malaysia. Hal ini adalah seiring
dengan pandangan sarjana yang mengaitkan bahawa nilai dan akhlak yang baik mampu menjadikan
seorang pelajar itu bertindak secara rasional dalam menangani masalah yang dihadapi (Hassan al-Banna,
2003).
Diketahui umum bahawa Politeknik Malaysia adalah sebuah institusi dan stakeholder yang
bertanggunjawab menjalankan program pengajian yang berteraskan teknikal dan vokasional. Politeknik
Malaysia dilihat memikul tanggungjawab untuk mendidik pelajar dari segi ilmu bidang dan ilmu nilai.
Keperluan ilmu bidang dan ilmu nilai ini amat penting di dalam proses membentuk pelajar yang
mempunyai jiwa untuk bersaing secara sihat dalam membangunkan negara. Persoalannya di sini, adakah
ilmu nilai yang diperlukan oleh pelajar kejuruteraan Politeknik Malaysia mencukupi?
Maka, bertitik tolak kepada persoalan ini amat wajar sekiranya kajian ini dijalankan bagi melihat
tahap elemen nilai yang diterapkan kepada pelajar kejuruteraan Politeknik Malaysia bagi mengetahui
adakah perlu ditambah baik atau dikekalkan penerapan elemen nilai terhadap pelajar?
Tujuan Kajian
Tujuan kajian ini dijalankan adalah untuk melihat tahap elemen nilai yang seharusnya ada pada pelajar
kejuruteraan mekanikal di Politeknik Malaysia setelah mereka selesai menyempurnakan tempoh
pengajian mereka.
Objektif Kajian
Di dalam kajian ini, pengkaji memfokuskan kepada proses mengenalpasti tahap elemen nilai bagi
hubungan pelajar dengan pensyarah di Jabatan Kejuruteraan Mekanikal.
Metodologi Kajian
Metodologi kajian ini adalah menggunakan pendekatan soal selidik yang dibina dan disahkan oleh pakar
yang berkaitan dengan bidang kajian yang terdiri daripada pakar dalam bidang nilai dan pakar dalam
bidang kejuruteraan. Soalan-soalan ini disediakan dalam format yang mudah difahami oleh pelajar dan di
dalam Bahasa Melayu.
Soal Selidik Kajian
Terdapat hanya satu bahagian sahaja dalam soal-selidik iaitu melihat kepada soalan-soalan mengenai
tahap hubungan pelajar dengan pensyarah dan mentor. Kesemua item soalan dijawab mengikut skala
Likert 5 mata (dari 1= sangat tidak bersetuju, hingga 5 = sangat bersetuju). Jadual 1 menunjukkan soalan-
soalan dan item yang ditanya kepada para pelajar kejuruteraan Politeknik Malaysia bagi elemen
hubungan pelajar dengan pensyarah.
Jadual 1: Elemen Hubungan dengan pensyarah
Hubungan Dengan Pensyarah
1 Menghormati pensyarah.
2 Berdiam diri apabila tidak disoal oleh pensyarah.
3 Memohon kebenaran untuk bertanya kepada pensyarah.
4 Menunjukkan sikap yang seiring pendapat dengan pendapat pensyarah.
5 Beretika apabila bercakap dengan pensyarah.
Sampel Kajian
Sampel kajian terdiri dari 100 orang pelajar kejuruteraan di Jabatan Kejuruteraan Mekanikal di Politeknik
Malaysia. Jenis persampelan yang dijalankan adalah jenis bertujuan. Penyertaan mereka dalam kajian ini
adalah secara sukarela. Jika disoroti, bilangan responden adalah tidak besar. Justifikasi bilangan
responden ini adalah berdasarkan pandangan Cooper (1982) yang menghujahkan bahawa bagi jumlah
responden boleh dikurangkan sekiranya ia adalah seragam berdasarkan syarat kemasukan pelajar ke
institusi itu sendiri.