Page 24 - eDinamik
P. 24

SOKONGAN TEMPAT KERJA JAYAKAN PENYUSUAN
                               Nazihah Omar & Syaidatul Zarina Mat Din





          Umum mengetahui kebaikan susu ibu terhadap bayi, ibu, dan masyarakat malah ia telah
          dibuktikan dalam banyak kajian. Pentingnya penyusuan susu ibu sehingga UNICEF dan WHO
          mengiktiraf penyusuan bukan sahaja sebagai asas kepada pembangunan kesihatan kanak-
          kanak tetapi juga asas pembangunan sesebuah negara.

          Walaupun kesedaran mengenai penyusuan susu ibu telah meningkat dengan ketara dalam
          kalangan masyarakat, WHO dan UNICEF menganggarkan lebih daripada 50% bayi di dunia
          tidak disusukan secara optimal iaitu penyusuan eksklusif (susu ibu tanpa makanan atau cecair)
          untuk enam bulan pertama kehidupan, diikuti oleh susu ibu dan makanan pelengkap (makanan
          pepejal atau separa pepejal) dari usia enam bulan ke atas, dan penyusuan diteruskan
          sekurang-kurangnya dua tahun, di samping diberi makanan pelengkap yang sesuai.

          Minggu Penyusuan Sedunia 2019 yang disambut pada 1-7 Ogos setiap tahun, bertemakan,
          CAKNAKAN IBUBAPA, JAYAKAN PENYUSUAN - Bertindak sekarang demi masa depan,
          menekankan penglibatan pelbagai pihak dalam mewujudkan rantaian sokongan bagi
          mewujudkan persekitaran yang berupaya memperkasa ibu untuk menyusukan anak secara
          optima. Sokongan daripada pasangan, keluarga, majikan, rakan sekerja dan komuniti akan
          memberi impak yang lebih besar dalam membudayakan amalan penyusuan susu ibu.

          Sebagai majikan yang prihatin, sokongan dapat dizahirkan dengan menyediakan ruang khas
          bagi membolehkan ibu mengepam susu mengikut jadual. Ruang yang bersih dan dilengkapi peti
          sejuk untuk menyimpan susu perahan merupakan fasiliti asas yang diperlukan oleh ibu bagi
          menjayakan penyusuan. Majikan juga perlu membenarkan ibu mengambil waktu rehat selama
          sejam bagi 2-3 sesi mengepam yang mengambil masa kira-kira 15-20 minit setiap sesi agar
          mereka dapat mengepam susu secara optimum.

          Pelaksanaan waktu kerja fleksibel perlu diperluaskan ke sektor swasta bagi memastikan ibu
          mempunyai masa yang mencukupi untuk menghasilkan susu perahan. Sebagai permulaan,
          projek rintis boleh dilaksanakan bagi mengkaji keberkesanan pelaksaanaannya . Selain itu,
          tempoh cuti bersalin yang lebih panjang dapat memberi masa yang lebih lama bagi ibu
          menyusukan bayi secara terus dan melatih bayi menyesuaikan diri dengan susu perahan. Taska
          atau pusat jagaan di tempat kerja juga memudahkan penyusuan, malah dapat mengurangkan
          tekanan dan kebimbangan ibu terhadap isu keselamatan bayi yang kerap menghiasai dada
          akhbar.

          Kejayaan penyusuan susu ibu turut bergantung kepada sokongan sosial dari masyarakat
          sekeliling. Penubuhan kumpulan sokongan penyusuan di tempat kerja bertindak sebagai tempat
          rujuk apabila timbul permasalahan berkaitan penyusuan selain saling memberi sokongan
          apabila diperlukan. Tekanan kerja yang tidak diurus dengan baik akan memberi kesan
          psikologikal terhadap penghasilan susu ibu.




                                                                                                       15
   19   20   21   22   23   24   25   26   27   28   29