Page 26 - eDinamik
P. 26
ANDA STRES?
Zanariah Abdul Rahman & Akmal Aini Othman
Tekanan / stres ada di mana-mana sama ada di tempat kerja mahupun di rumah. Terdapat dua
jenis stres iaitu distres dan eustres. Atau istilah lainnya stres negatif dan stres positif. Stres
negatif adalah stres yang membawa kepada keburukkan kepada seseorang manakala stres
positif adalah stres yang membawa kepada hasil yang baik atau sesuatu kejayaan pada
akhirnya.
Stres positif boleh bertukar menjadi stres negatif andai tidak ditangani dengan sebaiknya.
Contohnya, seseorang mendapat kerja yang diidamkan dengan gaji yang lumayan. Kerja
idaman itu dibayar dengan gaji yang banyak tetapi datang seiring dengan tanggungjawab. Stres
itu bersifat positif bilamana kita sentiasa berusaha bekerja keras dan ingin memberi khidmat
yang terbaik untuk syarikat kita. Keadaan itu menjadi negatif apabila kita terlalu asyik dengan
tanggungjawab kerja sehinggakan terlupa kepada tanggungjawab kepada keluarga, masyarakat
dan rohani sendiri. Keluarga boleh menjadi pincang, masyarakat menjauh dan rohani menjadi
tidak tenang sekiranya tidak ditangani dengan sempurna. Impaknya apabila kita lihat banyak kes
kemurungan, niat membunuh diri, hilang akal dan penderaan terjadi di sekeliling kita.
Kehidupan kerjaya keluarga dan masyarakat haruslah seiring dan seimbang. Selain itu, ketahui
tujuan sebenar kehidupan kita. Kerjaya adalah sumber kepada pendapatan dan untuk
kelangsungan hidup. Tetapi, keluarga adalah sumber kebahagiaan kita. Berikan kasih sayang
(bukan dengan wang ringgit sahaja) yang tidak berbelah bagi kepada mereka. Rasulullah SAW
bersabda dalam sebuah hadis yang bermaksud: “Setiap kalian adalah pemimpin. Setiap kalian
juga akan dipertanggungjawabkan berkenaan kepemimpinannya. Seorang imam
bertanggungjawab dan akan dipertanggungjawabkan berkenaan kepemimpinannya. Seorang
lelaki bertanggungjawab terhadap keluarganya dan akan dipertanggungjawabkan berkenaan
kepemimpinannya. Seorang wanita bertanggungjawab terhadap urusan di rumah suaminya dan
akan dipertanggungjawabkan berkenaan kepemimpinannya” (Hadis riwayat al-Bukhari dan
Muslim). Hadis berkenaan menyedarkan kita bahawa setiap kita mempunyai tanggungjawab
antara satu sama lain dan perlu memainkan peranan untuk mendapat keredhaan Allah SWT di
dunia dan di akhirat.
Masyarakat adalah sumber keselamatan dan keamanan untuk kita. Jalinkan hubungan erat
dengan jiran tetangga. Ambil tahu (bukan buat tak tahu) hal-hal berkaitan tempat tinggal kita dan
penghuninya. Apabila kita tinggal dikawasan jauh dari ibu bapa dan saudara mara, maka jiran-
jiranlah tempat meminta pertolongan. Dalam surah Al-Hujurat (ayat 10), Allah berfirman,
maksudnya “Orang-orang beriman itu sesungguhnya bersaudara. Sebab itu damaikanlah
(perbaikilah hubungan) antara kedua saudaramu itu dan takutlah terhadap Allah, supaya kamu
mendapat rahmat.”
Memperbanyakkan doa kepada Allah SWT supaya sentiasa dipelihara daripada akhlak buruk.
Oleh sebab itu Nabi SAW selalu berdoa kepada Allah dengan doa berikut yang bermaksud: "Ya
Allah, sesungguhnya aku mohon berlindung dengan-Mu daripada segala kemungkaran akhlak,
amalan dan nafsu" (Riwayat al-Tirmidhi).
17