Page 263 - e-Dinamik
P. 263
3. LUQMAN DAN MESEJ PENDIDIKAN
oleh Sidek Abdullah
Luqman atau Luqman al-hakim adalah satu nama besar yang telah diabadikan sebagai satu surah
dalam al-Quran. Luqman al-Hakim bermaksud Luqman yang mempunyai hikmah atau kebijaksanaan.
Banyak pendapat diberikan bagi mengenali siapakah Luqman, sehingga ada yang mengatakan beliau
adalah seorang nabi. Namun apa yang pasti, beliau mendapat pengiktirafan istimewa kerana
sumbangannya menentukan dasar-dasar dalam memberi pendidikan kepada seseorang manusia.
Biarpun mesej ini secara khususnya ditujukan kepada anaknya, tetapi al-Quran bersifat terbuka,
sesuai sepanjang zaman untuk difahami dan diamalkan oleh mana-mana individu.
Terdapat tujuh mesej yang disampaikan oleh Luqman dalam surah tersebut. Pada
kedudukan pertama diletakkan rasa syukur atau dalam bahasa kita, kita mengucapkan terima kasih.
Kepada siapa, tentu sekali kepada Allah SWT dan juga kepada manusia. Allah SWT memberikan
banyak nikmat sehingga kita tidak mampu menghitungnya. Allah SWT menegaskan lagi sekiranya
kita bersyukur, Allah pasti menambah nikmatNya. Cara mudah untuk difahami tanda syukur ini ialah
setiap kali selepas makan kita mengucapkan Alhamdulillah, kita selamat memandu, kita mengucapkan
Alhamdulillah, hatta kita kembali dari tandas pun kita mengucapkan Alhamdulillah. Begitulah
seterusnya.
Bagaimana Rasulullah SAW bersyukur? Ketika Aisyah melihat betapa berat beban
suaminya mengerjakan solat malam dengan menyatakan: “Apa yang merisaukan kamu sedangkan
Allah SWT mengampunkan dosamu Ya Rasulallah?” Jawab Nabi: “Salahkah aku ingin menjadi hamba
yang bersyukur.?”. Dalam kitab Hidayatul Salikin, cara bersyukur ialah dengan menggunakan tujuh
pancaindera kita ke arah kebaikan.
Perkara kedua yang ditekankan oleh Luqman ialah jangan mempersekutukan Allah
dengan sesuatu apa pun. Dengan makna bahawa Allah adalah segala-galanya. Dialah yang
memberikan rezeki, menentukan hidup mati manusia dan pengantungan kita hanya kepadaNya. Allah
SWT Maha Berkuasa, sumber ilmu dan Maha Mengetahui dengan segala sifat kesempurnaanNya.
Walau pun manusia kini bergantung hidup kepada teknologi moden, wang ringgit dan kehebatan akal
dalam mencipta sesuatu, ingatlah bahawa semuanya berlaku dengan izin Allah SWT. Sungguh pun
begitu tinggi teknologi kini dengan peralatan canggih bagi mengesan kapal terbang yang hilang,
namun hingga kini semuanya gagal.
Seterusnya perkara ketiga yang ditekankan ialah berbuat baik kepada kedua ibu bapa. Ia
menjadi suatu penghormatan dari manusia kepada manusia. Namun penghormatan ini tidak sampai
pada tahap menjadikan ibubapa sebagai Tuhan. Berbuat baik meliputi percakapan, bantuan sara.
hidup, mendoakan kebaikan dan yang paling bernilai tentu sekali mengasuh mereka ketika mereka
sudah berusia. Rasulullah SAW memberi penekanan betapa ibu perlu didahulukan berbanding bapa.
Ketika ditanya oleh seorang lelaki, siapa yang patut didahulukan dalam konteks berbakti kepada
keduanya, Rasulullah SAW menjawab ibu sebanyak tiga kali. Selepas itu barulah bapa.
Seterusnya mesej keempat yang disampaikan ialah berbuat baiklah kepada sesiapa
sahaja, walau sekecil apa pun. Difahami dari mesej ini, amalan baik itu tidak hanya duit ratusan ribu
yang didermakan, namun apa sahaja perkara walaupun dengan memberi minum seteguk air kepada
manusia atau binatang. Allah SWT menyatakan bahawa amalan kecil yang ikhlas ini akan
diperlihatkan Allah pada hari hitungan amal nanti.
253