Page 265 - e-Dinamik
P. 265
4. PENGAJARAN DARIPADA HIJRAH NABI SAW KE MADINAH
oleh Mohamad Zaki Razaly
Setiap kali tibanya bulan Muharram, pasti ramai yang akan menyoroti kembali
peristiwa besar dalam sejarah umat Islam iaitu Hijrah Nabi SAW daripada Makkah al-
Mukarramah ke Madinah al-Munawwarah. Bulan Muharram adalah bulan yang
istimewa dan mempunyai banyak kelebihan. Antaranya kita dituntut untuk
memperbanyakkan puasa sunat selain daripada puasa Asyura dan Tasu’a semata-
mata. Walaupun begitu, tidaklah bermakna peristiwa hijrah Nabi SAW berlaku pada
bulan Muharram seperti yang disangka oleh ramai orang. Hijrah Nabi SAW bermula
pada 28 Safar dan tiba di Madinah pada 8 Rabiul Awal (al-Mubarakfuri, 2017). Bulan
Muharram ditetapkan sebagai bulan pertama dalam kalendar hijrah oleh Saidina
Umar al-Khattab disebabkan ia seolah-olah seperti permulaan yang baharu bagi
umat Islam setelah mereka selesai menunaikan ibadah haji pada bulan Zulhijah (Ibn
Kathir, 2004).
Peristiwa Hijrah Nabi SAW ke Madinah pada pandangan yang masyhur
berlaku selepas daripada peristiwa Isra’ dan Mikraj. Ironinya dalam peristiwa Isra’
dan Mikraj Nabi SAW diberikan buraq sebagai kenderaan, manakala hijrah Nabi
SAW ke Madinah adalah sebaliknya. Perjalanan Nabi SAW dalam peristiwa Isra’ dan
Mikraj adalah istimewa dan khusus untuk Nabi SAW menemui penciptaNya bagi
menerima kefardhuan solat dan bukan untuk diteladani atau dicontohi oleh umat
Islam. Penghijrahan Nabi SAW ke Madinah pula, dengan menempuhi pelbagai
dugaan dan kepayahan memberikan mesej signifikan kepada umat Islam bahawa
penghijrahan itu merupakan satu keperluan yang perlu diteladani dan dicontohi oleh
setiap insan. Peristiwa ini juga menunjukkan bahawa tugas dakwah bukan hanya
digalas oleh ustaz dan ustazah sahaja, bahkan ia merupakan tugas hakiki bagi
setiap orang yang bergelar Muslim dan Muslimah.
Konteks hijrah pada hari ini mungkin tidak menuntut kita untuk bermigrasi
ke negara lain, pelaksanaannya adalah fleksibel yang boleh diterjemahkan melalui
pendekatan yang pelbagai. Pada zaman umat Islam kini lemah dan ketinggalan dari
sudut teknologi, ekonomi dan politik, menjadi keutamaan umat Islam untuk berhijrah
dari kejahilan ilmu kepada minda pengetahuan kelas pertama yang akan menjadi
pemangkin terhadap kemajuan dan dominasi umat Islam di peringkat global seperti
mana pada zaman keemasan Islam ketika pemerintahan Kerajaan Abasiyyah di
Baghdad. Umat Islam juga harus berani mengambil risiko melibatkan diri dalam
dunia perniagaan dan korporat untuk memecahkan monopoli penguasaan ekonomi
oleh bukan Islam seterusnya mengangkat kedudukan umat Islam sebagai golongan
yang dihormati dan dipandang tinggi oleh masyarakat dunia.
255