Page 119 - KPKM
P. 119

LAPORAN TAHUNAN ‘23 |      118




          Secara amnya, terdapat dua kategori negara bagi pengeksportan produk agromakanan Malaysia iaitu
          kategori pertama, negara yang mengenakan syarat yang kurang ketat seperti Singapura, Hong Kong,
          Eropah, Timur Tengah, Kanada, Brunei dan Taiwan, manakala kategori kedua, negara yang mengenakan
          syarat yang ketat dan memerlukan rundingan dua hala untuk mempersetujui protokol import seperti
          Amerika Syarikat, China, Australia, Korea Selatan, New Zealand dan Jepun.
          Bagi pasaran ke China, antara produk yang telah mendapat akses pasaran adalah seperti durian sejuk
          beku, sarang burung walit (raw and clean edible bird nest), buah-buahan segar (betik, rambutan,
          manggis, longan dan tembikai), kelapa, bunga keratan serta produk sejuk beku ikan dan hasilan ikan.
          Mulai April 2023, China telah memberikan akses pasaran kepada dua produk dari Malaysia iaitu nangka
          segar dan makanan akuakultur. Dengan akses baharu ini, nilai eksport dijangka akan meningkat sebanyak
          RM50 juta setahun. Bagi pasaran eksport ke Jepun, produk-produk yang telah mendapat akses pasaran
          antaranya ialah buah-buahan (seperti durian, nanas, pisang, kelapa, mangga Harum Manis serta buah-
          buahan lain yang disejukbeku), sayur-sayuran (seperti bendi, salad, kobis serta sayur-sayuran lain yang
          disejukbeku), bunga keratan, produk ayam, itik, telur serta produk tenusu dan makanan yang sedia untuk
          dimasak/dimakan. Sementara itu, pasaran eksport ke Australia turut mendapat laluan untuk komoditi
          buah-buahan seperti durian, kelapa, nanas, nangka (yang diproses minima) dan juga keratan bunga
          serta makanan sedia untuk dimasak/dimakan.


          PENINGKATAN NILAI PELABURAN

          Bagi merealisasikan strategi di bawah DAN 2.0 untuk memperkukuh peranan Kementerian dalam
          menerajui pelaburan pertanian, usaha bagi memudahcara pelabur yang berpotensi telah dilaksana
          dan dipergiat merangkumi aspek panduan teknikal dan bantuan dana dengan kerjasama jabatan dan
          agensi berkompeten, serta menawarkan insentif galakan cukai.

          Menyedari cabaran pihak swasta dalam menceburi sektor agromakanan terutama berkaitan keperluan
          modal yang tinggi selain risiko-risiko berkaitan, KPKM telah menawarkan Insentif Cukai Galakan
          Pengeluaran Bahan Makanan di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967 sebagai suntikan kepada syarikat
          pelaksana dan pelabur swasta dari dalam atau luar negara ke dalam bidang agromakanan. Bagi tahun
          2023, fasilitasi secara terus kepada 31 syarikat yang memohon insentif galakan cukai telah dilaksanakan
          dengan penjanaan sejumlah RM575.9 juta potensi pelaburan baharu. Daripada jumlah tersebut, subsektor
          tanaman merekodkan nilai potensi pelaburan tertinggi sejumlah RM329.0 juta, diikuti subsektor akuakultur
          RM136.0 juta dan subsekor ternakan sejumlah RM110.9 juta. Selain memberi impak dalam memastikan
          keterjaminan makanan negara dan mewujudkan industri agromakanan yang berdaya saing, insentif
          galakan cukai ini juga secara langsung meransang pembangunan sektor agromakanan yang diterajui
          oleh pihak swasta melalui penggunaan teknologi moden dan perkongsian kepakaran.
   114   115   116   117   118   119   120   121   122   123   124