Page 24 - eBukuProgram SEBAHTERAIPGKK2021
P. 24
GAYA PENGURUSAN KONFLIK DALAM KALANGAN PEMIMPIN SEKOLAH RENDAH
Chanthirasekar a/l Karpan¹
Institut Pendidikan Guru Kampus Keningau, SABAH.
Ramesh Rao Ramanaidu (PhD)²
Institut Pendidikan Guru Kampus Ilmu Khas, Jalan Yaacob Latif, KUALA LUMPUR
Chander Vengedasalam (PhD)³
Institut Pendidikan Guru Kampus Pendidikan Teknik, KUALA LUMPUR
Shasitharan Raman Kutty (PhD)⁴
Institut Pendidikan Guru Kampus Pendidikan Teknik, KUALA LUMPUR
ABSTRAK
Konflik merupakan fenomena semulajadi yang dialami oleh setiap individu yang berinteraksi dengan
individu lain. Setiap orang mempunyai gaya tersendiri dalam menguruskan konflik mengikut
kesesuaian dan keadaan. Mengurus konflik dalam sesuatu organisasi memerlukan kemahiran,
terutamanya dalam kalangan pemimpin. Selain menyelesaikan masalah, pengurusan konflik yang
baik juga mampu mencungkil daya kreativiti dan inovasi yang dimiliki oleh seseorang. Kajian ini
meneliti gaya pengurusan konflik yang diguna pakai oleh pemimpin sekolah rendah. Gaya
pengurusan konflik dikaji berpandukan lima kaedah yang dikemukakan dalam model Thomas-
Kilmann iaitu gaya persaingan, kolaborasi, mengelak, akomodasi dan tolak ansur. Responden kajian
terdiri daripada tiga orang pentadbir sekolah dan 10 orang guru Ketua Panitia mata pelajaran
sebuah sekolah rendah di daerah Keningau Sabah. Reka bentuk kajian ini adalah berbentuk
kualitatif dengan menggunakan kaedah temu bual. Soalan temu bual yang diadaptasi daripada
Model Konflik Thomas-Kilmann digunakan. Analisis data menunjukkan bahawa gaya pengurusan
konflik yang paling digemari oleh guru besar adalah gaya kolaborasi dan diikuti oleh gaya
pengurusan tolak ansur. Manakala gaya mengelak paling kurang digemari oleh guru besar.
Daripada data temu bual juga dapat dirumuskan bahawa gaya pengurusan konflik memberikan
kesan positif terhadap prestasi kerja guru dari segi peningkatan motivasi dan kerjasama.