Page 25 - eBukuProgram SEBAHTERAIPGKK2021
P. 25

“ARVAYUNA”  MERUNGKAI FITUR BAHASA

                          Dayang Nur E’zzati Nadhirah Binti Abg Zakeria (ezzati_nadhirah@yahoo.com)
                                               SK (A) Majlis Islam Sarawak Bintulu

                                                        ABSTRAK
                Kajian  ini  bertujuan  untuk  menganalisis  novel  “Arvayuna”  hasil  karya  Riannawati  menerusi
                penerapan teori sastera bahasa iaitu Teori Stilisitik yang memfokuskan ciri dan bentuk kata dalam
                gaya sastera sesuatu nukilan penulis. Objektif kajian terarah kepada mengidentifikasi bentuk-bentuk
                pengaruh heterogen bahasa dalam karya penulisan beliau. Teori Stilistik merujuk kepada ilmu yang
                mengkaji  teknik  penggunaan  bahasa  dalam  sesebuah  penulisan  yang  berkaitan  dengan  disiplin
                linguistik. Secara holistiknya, kajian ini mendapati bahawa variasi bahasa serta pengaruh-pengaruh
                luar banyak diserap masuk dalam karya  penulis di samping penggunaan pelbagai  bentuk bahasa
                dalam  bidang  morfologi.  Kajian  ini  membuktikan  dunia  sastera  Melayu  begitu  kaya  dengan  hasil
                karya yang unik, penggunaan kata yang bervariasi serta tinggi dari nilai pemikirannya sebagai entiti
                mithali  kepada  masyarakat.  Justeru,  tidak  hairanlah  jika  medium  sastera  diangkat  martabatnya
                dalam dunia pendidikan dalam usaha membentuk kemenjadian modal insan yang berkualiti. Malah,
                kebijaksanaan  guru  untuk  merancang  pedagogi  sejajar  dengan  prinsip  alaf  ke-21  adalah  sangat
                wajar dalam pengajaran Bahasa Melayu dengan disokong oleh medium-medium pengajaran yang
                relevan.

                Kata kunci:    stilistik; fitur; morfologi; variasi



                                 PENGARUH PERSEKITARAN PEMBELAJARAN TERHADAP
                                          KEMAHIRAN MEMBACA MURID PERIBUMI
                                          Dr Celinea Lasan (celinea@ipgkbm.edu.my)
                                  Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Melayu, KUALA LUMPUR.

                                                        ABSTRAK
                Kajian  ini  membincangkan  pengaruh  persekitaran  pembelajaran  terhadap  kemahiran  membaca
                murid peribumi. Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia  2013 hingga 2025 (PPPM 2013-2025)
                memberi peluang kepada murid orang asli dan kumpulan minoriti peribumi di Sarawak dan Sabah
                menikmati peluang yang sama dalam pembangunan pendidikan. Dua objektif yang diketengahkan
                dalam  kajian  ini    ialah  mengenal  pasti  pengaruh  persekitaran  pembelajaran  terhadap  kemahiran
                membaca dan mengenal pasti langkah mengatasi kelemahan kemahiran membaca murid peribumi.
                Kajian ini menggunakan reka bentuk kajian kualitatif yang dilaksanakan secara kajian kes. Peserta
                kajian terdiri daripada lapan orang murid peribumi dan empat orang guru bahasa Melayu di empat
                buah sekolah kebangsaan di negeri Sarawak. Pemilihan peserta kajian dipilih secara persampelan
                bertujuan.  Pengumpulan  data  dilakukan  melalui  temu  bual  separa  berstruktur,  pemerhatian
                pembelajaran  di  dalam  bilik  darjah  dan    analisis  dokumen.  Data  dianalisis  menggunaan  perisian
                ATLAS.ti  Mac  versi  1.6.0  (484),  dianalisis  secara  deskriptif  dan  dipersembahkan  dalam  bentuk
                naratif.  Dapatan  kajian  secara  tematik  menunjukkan  pengaruh  persekitaran  pembelajaran  terdiri
                daripada kurang bahan bacaan, kurang minat membaca, kurang galakkan, gangguan persekitaran
                dan gangguan aktiviti sekolah. Langkah menangani pula melibatkan inisiatif guru, sekolah, keluarga,
                program membaca dan sumbangan pihak luar. Kajian ini memberi implikasi terhadap pembangunan
                pendidikan  murid  peribumi  dan  perkembangan  pendidikan  di  negara  ini.  Kajian  ini  juga  dapat
                membantu guru-guru di sekolah rendah meningkatkan mutu pengajaran dan pembelajaran bahasa
                Melayu di samping mendekati dan mengenal pasti keperluan pendidikan murid peribumi.

                Kata Kunci :   Pengaruh persekitaran pembelajaran, kemahiran membaca, bahasa Melayu
                               murid peribumi
   20   21   22   23   24   25   26   27   28   29   30