Page 56 - eBukuProgram SEBAHTERAIPGKK2021
P. 56
KATA TERBITAN DALAM LIRIK LAGU MELAYU MODEN
Siti Noorhairulmiza binti Dorsait (742-27-noorhairulmiza@epembelajaran.edu.my)
Sekolah Kebangsaan Telisai, Lahad Datu, SABAH.
ABSTRAK
Kajian ini dilakukan untuk melihat fungsi kata nama terbitan di dalam lirik lagu Melayu Moden. Hal ini
kerana masyarakat pada hari ini lebih sinonim dengan irama-irama muzik Melayu yang sedang hangat
diputarkan di corong-corong radio di seluruh negara, bahkan juga di dalam industri muzik Indonesia
dan juga Brunei Darussalam. Kajian ini telah memilih sebanyak dua puluh buah lagu Melayu Moden
yang dipilih secara rawak berdasarkan justifikasi jumlah tontonan di laman interaktif Youtube. Jumlah
tontonan yang telah ditetapkan adalah dalam lingkungan 1 juta sehingga 5 juta tontonan sahaja. Kajian
ini lebih berfokus kepada kata terbitan yang ada di dalam setiap lirik lagu yang telah dipilih. Kata
terbitan yang dibincangkan adalah kata nama terbitan, kata kerja terbitan dan kata adjektif terbitan.
Kajian ini telah mendapati bahawa semua lagu yang dipilih mempunyai kata kerja terbitan. Namun,
tidak semua lagu mempunyai kata nama terbitan dan juga kata adjektif terbitan. Terdapat sebanyak 15
buah lahu yang mengandungi kata nama terbitan di dalam lirik lagu tersebu, akan tetapi hanya
terdapat 4 buah lagu sahaja yang mempunyai kata adjektif terbitan. Hal ini jelas menunjukkan bahawa
kata kerja terbitan merupakan kata terbitan yang paling kerap digunakan di dalam industri muzik tanah
air diikuti dengan kata nama terbitan. Kata adjektif terbitan merupakan kata terbitan yang paling sedikit
digunakan di dalam penulisan lirik lagu Melayu Moden. Selain daripada itu, kajian ini juga telah
mengemukakan beberapa cadangan untuk dijadikan kajian akan datang. Antaranya adalah
memperbanyakkan lagi kajian dalam konteks lirik lagu. Hal ini kerana lagu merupakan medium yang
paling mudah untuk mengembangkan ilmu kebahasaan ini. Hal ini juga disebabkan taraf kemajuan
dalam industri muzik semakin meningkat menyebabkan masyarakat lebih suka untuk mendengar lagu
dalam kehidupan seharian mereka. Cadangan yang seterusnya adalah memperluaskan kajian dalam
bidang morfologi. Hal ini berikutan kerana bidang ini merupakan asas dalam mempelajari ilmu
kebahasaan sebelum mengenali cara pembentukan frasa, klausa dan ayat. Melalui kajian morfologi,
masyarakat dapat memahami dengan lebih lanjut mengenai asas bahasa.
Kata kunci: Melayu Moden, kata nama terbitan, kata kerja terbitan dan kata adjektif terbitan
PENCAPAIAN AWAL MATEMATIK KANAK-KANAK MENGIKUT TEMPOH BERADA
DI PRASEKOLAH DAN JANTINA
Connie Cassy Ompok (connieompok@ums.edu.my)
Faculty of Pschology and Education
Universiti Malaysia Sabah, MALAYSIA.
ABSTRAK
Kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti tahap pencapaian awal Matematik kanak-kanak dan
mengenalpasti kesan tempoh di prasekolah dan jantina terhadap pencapaian awal Matematik dalam
kalangan kanak-kanak prasekolah. Instrumen kajian ini merupakan Pencapaian Awal Matematik
(Ginsburg dan Baroody, 2003) berdasarkan Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan 2017.
Seramai 1108 orang kanak-kanak prasekolah yang berumur 4+ dan 5+ terlibat dalam kajian ini.
Statistik deskriptif, ujian-t bebas dan ujian Ancova menggunakan SPSS versi-21 dengan markah ujian
pra sebagai kovariat digunakan. Dapatan kajian menunjukkan pencapaian awal Matematik kanak-
kanak berada pada tahap purata dan tidak terdapat perbezaan yang signifikan dalam pencapaian awal
Matematik kanak-kanak mengikut jantina. Terdapat perbezaan yang signifikan dalam pencapaian awal
Matematik kanak-kanak mengikut tempoh di prasekolah. Kajian lanjutan tentang tempoh berada di
prasekolah terhadap pencapaian awal Matematik diperlukan untuk menjelaskan dapatan ini.
Kata kunci: Pencapaian awal Matematik, Tempoh berada di prasekolah, Jantina, Kanak-kanak
Prasekolah