Page 33 - 0. Riyadhus Sholihin
P. 33
suara teriakan seseorang yang berada di atas gunung Sala' - sebuah gunung di Madinah, ia
berkata dengan suaranya yang amat keras: "Hai Ka'ab bin Malik, bergembiralah." Segera
setelah mendengar itu, saya pun bersujud - syukur - dan saya meyakinkan bahawa telah ada
kelapangan yang datang untukku. Rasulullah s.a.w. telah memberitahukan pada orang-orang
banyak bahawa taubat kita bertiga telah diterima oleh Allah 'Azzawajalla, iaitu di waktu beliau
bersembahyang Subuh. Maka orang-orang pun menyampaikan berita gembira itu pada kita
dan ada pula pembawa-pembawa kegembiraan itu yang mendatangi kedua sahabatku -
yang senasib. Ada seorang yang dengan cepat-cepat melarikan kudanya serta bergegas-gegas
menuju ke tempatku dari golongan Aslam - namanya Hamzah bin Umar al-Aslami. Ia menaiki
gunung dan suaranya itu kiranya lebih cepat terdengar olehku daripada datangnya kuda itu
sendiri. Setelah dia datang padaku yakni orang yang ku dengar suaranya tadi, ia pun
memberikan berita gembira padaku, kemudian saya melepaskan kedua bajuku dan saya
berikan kepadanya untuk dipakai, sebagai hadiah dari berita gembira yang disampaikannya itu.
Demi Allah, saya tidak mempunyai pakaian selain keduanya tadi pada hari itu. Maka saya pun
meminjam dua buah baju - dari orang lain - dan saya kenakan lalu berangkat menuju ke tempat
Rasulullah s.a.w. Orang-orang sama menyambut kedatanganku itu sekelompok demi
sekelompok menyatakan ikut gembira padaku sebab taubatku yang telah diterima. Mereka
berkata: "Semogagembiralah hatimu kerana Allah telah menerima taubatmu itu." Demikian
akhirnya saya memasuki masjid, di situ Rasulullah s.a.w. sedang duduk dan di sekelilingnya
ada beberapa orang. Thalhah bin Ubaidullah r.a. lalu berdiri cepat-cepat kemudian menjabat
tanganku dan menyatakan ikut gembira atas diriku. Demi Allah tidak ada seorang pun dari
golongan kaum Muhajirin yang berdiri selain Thalhah itu. Oleh sebab itu Ka'ab tidak akan
melupakan peristiwa itu untuk Thalhah.
Ka'ab berkata: "Ketika saya mengucapkan salam kepada Rasulullah s.a.w. beliau
tampak berseri-seri wajahnya kerana gembiranya lalu bersabda: "Bergembiralah dengan
datangnya suatu hari baik yang pernah engkau alami sejak engkau dilahirkan oleh ibumu.
"Saya bertanya: "Apakah itu datangnya dari sisi Tuan sendiri ya Rasulullah, atau kah dari sisi
Allah?" Beliau s.a.w. menjawab: "Tidak dari aku sendiri, tetapi memang dari Allah 'Azzawajalla".
Rasulullah s.a.w. itu apabila gembira hatinya, maka wajahnya pun bersinar indah, seolah-olah
wajahnya itu adalah sepenuh bulan, kita semua mengetahui hal itu.
Setelah saya duduk di hadapannya, saya lalu berkata: "Ya Rasulullah, sesungguhnya untuk
menyatakan taubatku itu ialah saya hendak melepaskan sebahagian hartaku sebagai sedekah
kepada Allah dan RasulNya." Rasulullah s.a.w. bersabda: "Tahanlah untukmu sendiri
sebahagian dari harta-hartamu itu, sebab yang sedemikian itu adalah lebih baik." Saya
menjawab: "Sebenarnya saya telah menahan bahagianku yang ada di tanah Khaibar."
Selanjutnya saya meneruskan: "Ya Rasulullah, sesungguhnya Allah telah menyelamatkan diriku
dengan jalan berkata benar, maka sebagai tanda taubatku pula ialah bahawa saya tidak akan
berkata kecuali yang sebenarnya saja selama kehidupanku yang masih tertinggal." Demi Allah,
belum pernah saya melihat seseorang pun dari kalangan kaum Muslimin yang diberi cubaan