Page 261 - rise 2017
P. 261
Pepsepsi Pelajar Terhadap M Pembelajaran Bagi Subjek Elektif
Saroya Yahya & Zuraidah Baharin
IPGK Pendidikan Teknik, Negeri Sembilan
IPGK Perempuan Melayu, Melaka
Abstrak
Kajian ini bertujuan untuk melihat persepsi pelajar terhadap m pembelajaran bagi subjek elektif yang
mereka ambil. Kajian kualitatif ini menggunakan reka bentuk kajian kes. Data kualitatif diperoleh
sepenuhnya melalui temu bual mendalam. Peserta kajian terdiri daripada dua puluh orang pelajar di salah
sebuah institut pendidikan guru. Penghuraian dan pentafsiran dilakukan dengan meneliti tema, subtema
dan soalan kajian. Dapatan kajian dilaporkan berdasarkan kepada soalan kajian. Dapatan kajian
menunjukkan bahawa peserta kajian amat perlu kepada m pembelajaran kerana faktor berikut: 1)
memudahkan mencari maklumat 2) meneruskan pembelajaran tanpa terikat dengan masa dan lokasi 3)
PdP boleh dijalankan dengan mudah dan cepat 4) medium pembelajaran yang terkini dan lebih menarik
5) mengubah pendekatan pembelajaran 6) amat perlu bagi subjek yang tiada atau kurang bahan rujukan.
Implikasi kajian ini menjelaskan bahawa kaedah pengajaran perlu berubah kepada kehendak keperluan
pendidikan abad ke 21. Ini selari dengan perkembangan teknologi mudah alih yang sedang berkembang
maju di Malaysia.
Kata kunci: m pembelajaran, kajian kes, kaedah temu bual mendalam.
Latar Belakang Kajian
Cabaran pada masa kini dalam bidang pendidikan adalah berkaitan dengan perubahan dalam
penyampaian pengajaran dan pembelajaran. Sehubungan dengan itu, pelbagai usaha dan perancangan
perlu dilakukan untuk meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran melalui penggunaan teknologi
maklumat dan komunikasi (TMK) kerana kemahiran teknologi maklumat dan komunikasi (TMK)
menjadi kemestian bagi membolehkan guru dan pelajar kompeten.
Perkembangan TMK dalam pendidikan mengaplikasikan penggunaan teknologi maklumat
seperti e-Pembelajaran, m-Pembelajaran, internet dan laman web yang dilaksanakan secara tersusun dan
bersistematik. Komponen TMK dapat memberi manfaat kepada pelajar serta telah berjaya membawa
perubahan baru dalam dunia pendidikan hari ini. Dengan adanya kemudahan teknologi dalam kelas,
pelajar berpeluang mengalami satu pengalaman yang tidak dapat disediakan oleh kaedah pengajaran dan
pembelajaran tradisional. Teknologi elektronik telah berkembang pesat menjurus kepada penggunaan
teknologi mudah alih dan tanpa wayar. Perkembangan teknologi tanpa wayar serta alat komunikasi
mudah alih juga telah menyumbang kepada penggunaan peranti mudah alih dalam pendidikan.
Konsep m-Pembelajaran mula diperkenalkan sebagai salah satu alternatif kepada aktiviti
pembelajaran. Berbeza dengan konsep e-Pembelajaran yang terhad kepada pengajaran dan pembelajaran
yang berlaku di dalam bilik darjah ataupun kemudahan infrastruktur fizikal yang tersedia, m-
Pembelajaran membolehkan pengajaran dan pembelajaran berlaku pada bila-bila masa dan di mana-mana
sahaja secara sinkronous mahupun asinkronous. Oleh itu, kebolehan sesuatu pembelajaran itu berlaku
walaupun di mana pelajar itu berada tanpa mengira waktu merupakan satu kelebihan yang ada pada m-
Pembelajaran.
Sehubungan dengan itu, m-Pembelajaran yang merupakan suatu konsep baru dalam proses
pembelajaran menekankan kepada keupayaan untuk memudah alih proses pembelajaran tanpa terikat
kepada lokasi fizikal di mana proses pembelajaran berlaku Menurut Desmond (2002), m-Pembelajaran
merujuk kepada penyediaan pengajaran dan pembelajaran melalui penggunaan peranti tanpa wayar dan
mudah alih seperti PDA, telefon mudah alih, permainan konsol dan sebagainya. m-Pembelajaran
merupakan penggunaan peranti tanpa wayar bagi membolehkan pembelajaran berlaku pada bila-bila
masa dan di mana-mana sahaja. m-Pembelajaran merupakan sebahagian daripada e-Pembelajaran dan
pembelajaran jarak jauh. Sekiranya m-Pembelajaran dikaitkan dengan internet dan tanpa wayar, ianya
tidak jauh berbeza dengan konsep asal e-Pembelajaran.
Menurut Prensky (2001), m-Pembelajaran merujuk kepada pembelajaran berbantukan TMK
dengan menggunakan peralatan mudah alih khasnya peralatan mudah alih yang terkini seperti PDA,
telefon bimbit, laptop dan tablet PC. Mostakhdemin-Hosseini & Tuimala (2005) pula menyatakan