Page 301 - rise 2017
P. 301
Kajian Terhadap Faktor-faktor Yang Mempengaruhi Ketidakhadiran Pelajar Kolej Komuniti
Sabak Bernam
2
1
Hernani binti Hamid , Norazian binti Mat Saad , Normarliana binti Hassim 3
Kolej Komuniti Sabak Bernam, Selangor
hernani@kksbs.edu.my
ABSTRAK
Kajian ini dilakukan untuk mengetahui faktor-faktor yang mempengaruhi masalah ketidakhadiran dan
kelewatan ke kuliah bagi pelajar-pelajar Kolej Komuniti Sabak Bernam. Hasil kajian ini dapat membantu
para pensyarah dan pihak pengurusan untuk merancang aktiviti atau sistem bagi menangani masalah
kehadiran pelajar. Faktor yang dikaji adalah dari aspek sikap pelajar, persekitaran, pensyarah mengajar
dan rakan sebaya. Kajian ini disasarkan kepada semua pelajar Kolej Komuniti Sabak Bernam. Seramai
270 orang pelajar telah dipilih sebagai responden yang terdiri dari pelajar-pelajar kursus Sijil
Pemasangan Elektrik, Sijil Pemprosesan dan Kawalan Mutu Makanan, Sijil Fesyen dan Pakaian dan
Diploma Teknologi Senibina. Instrumen kajian terdiri daripada set borang soal selidik. Analisa data
dilakukan dengan perisian Statistical Package for Social Sciences (SPSS) versi 23.0 dan dipersembahkan
dalam bentuk statistik deskriptif seperti peratusan dan min. Dapatan kajian menunjukkan faktor
pensyarah mengajar merupakan faktor utama yang mempengaruhi ketidakhadiran pelajar Kolej Komuniti
Sabak Bernam.
KATA KUNCI: Masalah ketidakhadiran, kelewatan, kuliah
PENGENALAN
Dalam memperkasakan sistem pengurusan serta pengajaran dan pembelajaran, Unit Peperiksaan Kolej
Komuniti Sabak Bernam bertanggungjawab melaksanakan kesemua aktiviti yang melibatkan peperiksaan
dan penilaian. Tanggungjawab memantau kehadiran kurang 80 peratus pelajar ke kuliah merupakan
tanggungjawab setiap pensyarah. Pemantauan ini amat penting bagi memastikan pelajar benar-benar
layak menduduki peperiksaan akhir. Unit Peperiksaan akan mengeluarkan memo bagi menghantar
laporan kehadiran pelajar ke kuliah pada minggu ke-6 dan minggu ke-12 perkuliahan.
Laporan pemantauan kehadiran pelajar ke kuliah perlu di hantar kepada Timbalan Pengarah
Akademik (TPA) selepas memo dikeluarkan bagi melicinkan urusan pelajar membuat rayuan melalui
surat tunjuk sebab kepada TPA sebelum minggu peperiksaan berlangsung. Peratus kehadiran pelajar ke
kelas bagi pelajar-pelajar Kolej Komuniti, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bagi semua kursus sijil
yang ditawarkan perlu mencapai sekurang-kurang 80 peratus untuk membolehkan mereka menduduki
Peperiksaan Akhir (PA). Sekiranya pelajar ditahan dari menduduki PA, secara automatik mereka akan
gagal dalam mata pelajaran yang diambil dan dikehendaki mengulang pada semester berikutnya. Isu
ketidakhadiran pelajar ke kelas sehingga menghalang mereka dari menduduki PA sebenarnya merupakan
isu yang lama iaitu sejak Kolej Komuniti ditubuhkan lagi iaitu pada tahun 2002.
KAJIAN LITERATUR
Keberkesanan pembelajaran sesebuah institusi pengajian banyak bergantung kepada tahap disiplin pelajar
institusi berkenaan. Ini bermaksud disiplin pelajar akan mempengaruhi pencapaian dan juga imej
sesebuah institusi pengajian. Menurut Aziz (2007) [1], dalam penulisannya mengenai masalah disiplin
pelajar, beliau menyatakan bahawa antara masalah disiplin yang paling besar adalah ponteng dan hadir
lewat ke sekolah.
Gejala ponteng merupakan perbuatan yang menyalahi peraturan dan menimbulkan kebimbangan
kepada pelbagai pihak. Gejala ini sering melanda pelajar di pelbagai peringkat sama ada di peringkat
sekolah mahupun peringkat yang lebih tinggi seperti Institut Kemahiran dan Institut Pengajian Tinggi.
Gejala ponteng ini mungkin berlaku disebabkan pelajar masih terbawa-bawa dengan tabiat ponteng
semasa di sekolah lagi.