Page 113 - Nilai Shahid al-Quran
P. 113
membuat sesuatu itu berharga, layak diingini atau dikehendaki, dipuji, dihormati, dan
dijunjung tinggi, pantas dicari, diupayakan dan dicita-citakan perwujudannya,
merupakan pemandu dan pengarah hidup kita sebagai manusia (Paulus, 2008).
Dalam perbincangan ilmu psikologi manusia, ada sebahagian ahli dalam bidang ini
mengklasifikasikan nilai sebagai salah satu ciri domain efektif. Domain efektif adalah
punca upaya dalam diri manusia yang memberi kesan kepada tindakan. Beberapa ciri
domain efektif yang lain adalah motivasi, minat, sikap, aspirasi dan emosi (Al-Jalad,
2013; Mohd Uzi, 2007). Namun pada hakikatnya, nilai dibentuk dalam domain
kognitif, memperoleh makna dalam domain kalbu, beroperasi dalam domain afektif,
dan memanifestasikan diri dalam domain fizikal (Nik Azis, 2014).
Bagi memahami maksud nilai secara mendalam, perbincangan seterusnya akan
meneliti nilai dari segi definisinya sama ada bahasa ataupun istilah. Di samping itu
didatangkan juga maksud nilai yang digunakan dalam tulisan-tulisan berbentuk umum
kerana nilai juga telah lama mendapat tempat yang istimewa dalam kalangan
masyarakat.
2.3.1 Definisi nilai
2.3.1.1 Definisi nilai dari segi bahasa
Kamus Dewan mendefinisikan nilai sebagai harga, kadar, nisbah, darjat, kualiti, mutu,
taraf, sifat ketinggian dan markah. Perkataan ini sinonim dengan kata kimah dalam
bahasa Arab (Kamus Dewan, 2007).
95