Page 128 - e-Dinamik
P. 128

KEM MATEMATIK



      Pada 6 Ogos 2019, Fakulti Sains Komputer & Matematik (FSKM) telah menerima kunjungan seramai 39
      orang murid dan 6 orang guru pengiring dari Sekolah Kebangsaan Parit Pinang Seribu, Muar. Murid-murid
      pada mulanya dibawa ke Makmal Data Raya (Big Data Lab, BDL) dan seterusnya ke Dewan Kuliah untuk
      menjalani aktiviti Kem Matematik. Kem tersebut dikendalikan oleh 5 orang fasilitator daripada kalangan
      pensyarah FSKM. Sebanyak 4 aktiviti berkumpulan telah dijalankan dengan tujuan menarik minat murid-

      murid ini terhadap subjek matematik.


      Permainan pertama ialah Kuiz Zim Zam. Permainan ini melibatkan sifir 5 (zim) dan sifir 7 (zam). Murid-murid

      perlu mendengar nombor yang diberi oleh fasilitator dan menjawab dengan perkataan ‘zim’ atau ‘zam’.
      Permainan seterusnya ialah Litar Euler. Setiap kumpulan diberi sehelai kertas dengan lukisan litar yang
      sama. Litar tersebut mempunyai 11 nod. Setiap kumpulan perlu melakar laluan bermula di mana-mana nod
      dan berakhir di nod yang asal tanpa melalui laluan yang sama.



      Seterusnya ialah permainan susun angka. Murid-murid diarahkan untuk menyusun angka 1 hingga 8 ke
      dalam kotak yang disediakan. Kedudukan nombor yang berturut tidak boleh disusun bersebelahan, atas atau
      bawah. Permainan terakhir ialah silangkata matematik. Silangkata ini melibatkan 20 soalan berdasarkan

      silibus tahap 2 sekolah rendah. Permainan-permainan ini memerlukan murid-murid berfikir secara cepat dan
      kreatif serta kesepakatan antara ahli kumpulan untuk memberi jawapan yang betul.


      Setiap kumpulan diberi markah mengikut kepantasan menjawab soalan. Kumpulan dengan markah tertinggi
      mendapat johan dan seterusnya. Program sebegini perlu diteruskan di peringkat sekolah menengah untuk

      menarik minat terhadap subjek matematik seterusnya memberi persediaan awal sebelum ke universiti kelak.
























                      Disediakan oleh: Haslenda Yusop, Siti Nor Khadijah Arunah

   119
   123   124   125   126   127   128   129   130   131   132   133