Page 18 - e-Dinamik
P. 18

HUTAN KITA

                 Nur Adilah Saud & Tan Yan Ling



           Amazon adalah hutan tropika terbesar di dunia, meliputi lebih lima juta kilometer persegi di sembilan
           negara: Brazil, Bolivia, Colombia, Ecuador, Guyana Perancis, Guyana, Peru, Suriname dan
           Venezuela. Namun 67% hutan hujan itu berada di Brazil. Hutan hujan Amazon adalah salah satu
           daripada perlindungan terbaik alam semula jadi. Ia berfungsi sebagai paru-paru bumi dengan
           menyerap karbon dioksida, menyimpannya dalam tanah dan menghasilkan oksigen. Fungsi ini sangat
           penting bagi memperlahankan berlakunya pemanasan global.

           Hutan tersebut juga kaya dengan kepelbagaian biologi, dan menjadi habitat untuk berbilion-bilion
           spesies yang masih belum dikaji. Akan tetapi sejak kebelakangan ini telah berlaku kebakaran besar-
           besaran di kawasan ini. Menurut Institut Kajian Penyelidikan Angkasa Kebangsaan (INPE), hampir
           73,000 kes kebakaran dilaporkan antara Januari 2019 hingga Ogos 2019. Ini adalah catatan yang
           tertinggi sejak 2013.

           Kebakaran adalah kejadian semula jadi di Amazon dan tahun ini ia berlaku semasa musim kering.
           Bagaimanapun, pencinta alam sekitar dan pertubuhan bukan kerajaan mendakwa kegiatan manusia
           turut menyumbang kepada kebakaran tersebut. Dilaporkan kegiatan pembalakan haram merupakan
           faktor utama kepada kemusnahan hutan Amazon.

           Pemusnahan hutan disifatkan sebagai salah satu daripada punca kepada pemanasan global di
           seluruh dunia. Agensi pengawasan atmosfera Brazil mengesan asap telah merebak sejauh ribuan
           kilometer merentasi Amerika Selatan. Memandangkan jumlah kebakaran meningkat, pelepasan gas
           rumah hijau juga berlaku. Ini menjadikan kenaikan suhu di keseluruhan muka bumi. Apabila suhu
           meningkat, peristiwa cuaca yang melampau seperti kemarau akan berlaku lebih kerap. Di samping
           peningkatan pengeluaran haba, penebangan hutan juga menyumbang secara langsung kepada
           perubahan pola hujan di kawasan yang terjejas, memanjangkan tempoh musim kering dan selanjutnya
           memberi kesan kepada hutan, biodiversiti, pertanian dan kesihatan manusia.

           Kesedaran kita terhadap kepentingan hutan perlu ditekankan dan salah satu cara adalah melalui
           pendidikan. Sama-sama kita menjaga hutan kita.



           Rujukan:
           https://www.atlasandboots.com/largest-rainforests-in-the-world/
           https://www.sinarharian.com.my/article/44654/GLOBAL/Kebakaran-Amazon-Apa-yang-perlu-anda-tahu
           https://www.washingtonpost.com/weather/2019/08/21/amazonian-rainforest-is-ablaze-turning-day-into-night-
           brazils-capital-city/?noredirect=on
           https://www.thevocket.com/mengapa-kita-perlu-risau-jika-hutan-amazon-musnah-dalam-kebakaran/














                                                                                                         9
   13   14   15   16   17   18   19   20   21   22   23