Page 22 - e-Dinamik
P. 22

SOKONGAN TEMPAT KERJA JAYAKAN


           PENYUSUAN

           Nazihah Omar & Syaidatul Zarina Mat Din

           Umum mengetahui kebaikan susu ibu terhadap bayi, ibu, dan masyarakat malah ia telah dibuktikan
           dalam banyak kajian.  Pentingnya penyusuan susu ibu sehingga UNICEF dan WHO mengiktiraf
           penyusuan bukan sahaja sebagai asas kepada pembangunan kesihatan kanak-kanak tetapi juga asas
           pembangunan sesebuah negara.

           Walaupun kesedaran mengenai penyusuan susu ibu telah meningkat dengan ketara dalam kalangan
           masyarakat, WHO dan UNICEF menganggarkan lebih daripada 50% bayi di dunia tidak disusukan
           secara optimal iaitu penyusuan eksklusif (susu ibu tanpa makanan atau cecair) untuk enam bulan
           pertama kehidupan, diikuti oleh susu ibu dan makanan pelengkap (makanan pepejal atau separa
           pepejal) dari usia enam bulan ke atas, dan penyusuan diteruskan sekurang-kurangnya dua tahun, di
           samping diberi makanan pelengkap yang sesuai.


           Minggu Penyusuan Sedunia 2019 yang disambut pada 1-7 Ogos setiap tahun, bertemakan,
           CAKNAKAN IBUBAPA, JAYAKAN PENYUSUAN - Bertindak sekarang demi masa depan,
           menekankan penglibatan pelbagai pihak dalam mewujudkan rantaian sokongan bagi mewujudkan
           persekitaran yang berupaya memperkasa ibu untuk menyusukan anak secara optima. Sokongan
           daripada pasangan, keluarga, majikan, rakan sekerja dan komuniti akan memberi impak yang lebih
           besar dalam membudayakan amalan penyusuan susu ibu.

           Sebagai majikan yang prihatin, sokongan dapat dizahirkan dengan menyediakan ruang khas bagi
           membolehkan ibu mengepam susu mengikut jadual. Ruang yang bersih dan dilengkapi peti sejuk
           untuk menyimpan susu perahan merupakan fasiliti asas yang diperlukan oleh ibu bagi menjayakan
           penyusuan. Majikan juga perlu membenarkan ibu mengambil waktu rehat selama sejam bagi 2-3 sesi
           mengepam yang mengambil masa kira-kira 15-20 minit setiap sesi agar mereka dapat mengepam
           susu secara optimum.


           Pelaksanaan waktu kerja fleksibel perlu diperluaskan ke sektor swasta bagi memastikan ibu
           mempunyai masa yang mencukupi untuk menghasilkan susu perahan. Sebagai permulaan, projek
           rintis boleh dilaksanakan bagi mengkaji keberkesanan pelaksaanaannya . Selain itu, tempoh cuti
           bersalin yang lebih panjang dapat memberi masa yang lebih lama bagi ibu menyusukan bayi secara
           terus dan melatih bayi menyesuaikan diri dengan susu perahan. Taska atau pusat jagaan di tempat
           kerja juga memudahkan penyusuan, malah dapat mengurangkan tekanan dan kebimbangan ibu
           terhadap isu keselamatan bayi yang kerap menghiasai dada akhbar.

           Kejayaan penyusuan susu ibu turut bergantung kepada sokongan sosial dari masyarakat sekeliling.
           Penubuhan kumpulan sokongan penyusuan di tempat kerja bertindak sebagai tempat rujuk apabila
           timbul permasalahan berkaitan penyusuan selain saling memberi sokongan apabila diperlukan.
           Tekanan kerja yang tidak diurus dengan baik akan memberi kesan psikologikal terhadap penghasilan
           susu ibu.
                                                                                                       13
   17   18   19   20   21   22   23   24   25   26   27