Page 24 - e-Dinamik
P. 24
ANDA STRES?
Zanariah Abdul Rahman & Akmal Aini Othman
Tekanan / stres ada di mana-mana sama ada di tempat kerja mahupun di rumah. Terdapat dua jenis
stres iaitu distres dan eustres. Atau istilah lainnya stres negatif dan stres positif. Stres negatif adalah
stres yang membawa kepada keburukkan kepada seseorang manakala stres positif adalah stres yang
membawa kepada hasil yang baik atau sesuatu kejayaan pada akhirnya.
Stres positif boleh bertukar menjadi stres negatif andai tidak ditangani dengan sebaiknya. Contohnya,
seseorang mendapat kerja yang diidamkan dengan gaji yang lumayan. Kerja idaman itu dibayar
dengan gaji yang banyak tetapi datang seiring dengan tanggungjawab. Stres itu bersifat positif
bilamana kita sentiasa berusaha bekerja keras dan ingin memberi khidmat yang terbaik untuk syarikat
kita. Keadaan itu menjadi negatif apabila kita terlalu asyik dengan tanggungjawab kerja sehinggakan
terlupa kepada tanggungjawab kepada keluarga, masyarakat dan rohani sendiri. Keluarga boleh
menjadi pincang, masyarakat menjauh dan rohani menjadi tidak tenang sekiranya tidak ditangani
dengan sempurna. Impaknya apabila kita lihat banyak kes kemurungan, niat membunuh diri, hilang
akal dan penderaan terjadi di sekeliling kita.
Kehidupan kerjaya keluarga dan masyarakat haruslah seiring dan seimbang. Selain itu, ketahui tujuan
sebenar kehidupan kita. Kerjaya adalah sumber kepada pendapatan dan untuk kelangsungan hidup.
Tetapi, keluarga adalah sumber kebahagiaan kita. Berikan kasih sayang (bukan dengan wang ringgit
sahaja) yang tidak berbelah bagi kepada mereka. Rasulullah SAW bersabda dalam sebuah hadis
yang bermaksud: “Setiap kalian adalah pemimpin. Setiap kalian juga akan dipertanggungjawabkan
berkenaan kepemimpinannya. Seorang imam bertanggungjawab dan akan dipertanggungjawabkan
berkenaan kepemimpinannya. Seorang lelaki bertanggungjawab terhadap keluarganya dan akan
dipertanggungjawabkan berkenaan kepemimpinannya. Seorang wanita bertanggungjawab terhadap
urusan di rumah suaminya dan akan dipertanggungjawabkan berkenaan kepemimpinannya” (Hadis
riwayat al-Bukhari dan Muslim). Hadis berkenaan menyedarkan kita bahawa setiap kita mempunyai
tanggungjawab antara satu sama lain dan perlu memainkan peranan untuk mendapat keredhaan Allah
SWT di dunia dan di akhirat.
Masyarakat adalah sumber keselamatan dan keamanan untuk kita. Jalinkan hubungan erat dengan
jiran tetangga. Ambil tahu (bukan buat tak tahu) hal-hal berkaitan tempat tinggal kita dan penghuninya.
Apabila kita tinggal dikawasan jauh dari ibu bapa dan saudara mara, maka jiran-jiranlah tempat
meminta pertolongan. Dalam surah Al-Hujurat (ayat 10), Allah berfirman, maksudnya “Orang-orang
beriman itu sesungguhnya bersaudara. Sebab itu damaikanlah (perbaikilah hubungan) antara kedua
saudaramu itu dan takutlah terhadap Allah, supaya kamu mendapat rahmat.”
Memperbanyakkan doa kepada Allah SWT supaya sentiasa dipelihara daripada akhlak buruk. Oleh
sebab itu Nabi SAW selalu berdoa kepada Allah dengan doa berikut yang bermaksud: "Ya Allah,
sesungguhnya aku mohon berlindung dengan-Mu daripada segala kemungkaran akhlak, amalan dan
nafsu" (Riwayat al-Tirmidhi).
15