Page 28 - e-Dinamik
P. 28
CABARAN SEBAGAI
BOS MUDA
Muharratul Sharifah Shaik Alaudeen
Ramai yang mengenali Datin Vivy Yusof. Kelibat beliau yang sentiasa dilihat di Instagram sentiasa
dinanti-nantikan oleh pengikutnya. Lebih menarik lagi kerana beliau antara tokoh usahawan yang
amat berjaya dengan empayar perniagaan Fashion Valet dan jenama Duck. Ditambah pula umurnya
yang masih muda sudah pasti ramai anak muda yang ingin mengikut jejak langkah beliau.
Bagaimana ingin menjadi seorang ketua atau bos yang disegani walaupun anda masih muda? Sudah
pasti anda tercari-cari resepi kejayaan seperti Datin Vivy Yusof ataupun tokoh yang lain bukan?
Bukan mudah untuk menjadi seorang bos yang lebih muda daripada pekerja bawahan.
Sekiranya anda berada dalam kategori itu, apakah yang anda akan lakukan? Ada sesetengah bos
menghadapi saat sukar untuk mengurus ataupun memberi arahan kepada pekerja yang jauh berusia.
Apakah resepi terbaik untuk menangani hal ini?
Sudah pasti mempunyai pekerja yang lebih berusia bermakna mereka mempunyai pengalaman dalam
menyiapkan segala tugasan yang diberikan. Resepi pertama, sebagai seorang bos, eloklah anda
mengiktiraf pengalaman pekerja tersebut dan sentiasa menjalinkan komunikasi yang baik terutamanya
apabila ingin memberi tugasan kerja kepada mereka ini. Bagi seorang yang lebih berusia dan
berpengalaman, mereka mampu menerima arahan dan teguran yang berhemah. Buatlah teguran
secara privasi demi menjaga air muka pekerja yang lebih berusia dan berpengalaman ini.
Resepi kedua, anda digalakkan untuk mengamalkan sikap peramah terhadap semua pekerja di bawah
anda. Amalkan sikap prihatin terhadap keadaan diri pekerja dan keluarga mereka. Sentiasa
menghargai pekerja bawahan anda dengan mengadakan rumah terbuka organisasi anda semasa
perayaan disamping mengadakan hari keluarga bersama pekerja dan ahli keluarga mereka. Dengan
cara ini, anda akan dapat mengeratkan lagi jalinan ukhuwah antara pekerja, keluarga mereka dan
majikan. Sudah pasti para pekerja akan berasa dihargai. Ini adalah salah satu cara untuk
meningkatkan produktiviti organisasi ke tahap lebih tinggi.
Resepi ketiga adalah amalkan sikap tegas. Sebagai seorang bos, walaupun anda muda, anda
perlulah bersikap tegas mengikut keadaan. Sekiranya ada di antara pekerja yang telah melakukan
kesilapan, teguran dan amaran perlu diberikan agar kesilapan yang sama tidak diulangi. Teguran
boleh dilakukan dalam bentuk surat atau emel mahupun secara lisan. Pun begitu, teguran perlu
dilakukan dengan cara berhemah.
Resepi keempat adalah sentiasa bersikap terbuka dalam menangani kritikan dari pekerja yang sudah
berpengalaman dan jauh lebih berusia daripada anda. Belajarlah untuk menerima kritikan dan
pendapat dari pekerja bawahan anda secara lebih terbuka. Ini akan dapat membantu anda untuk
menguruskan organisasi dengan lebih baik.
Sebenarnya, usia bukanlah penghalang untuk menjadi seorang bos atau pemimpin yang baik. Apa
yang paling utama adalah amalan kepimipinan dan pengurusan perlu disesuaikan mengikut keperluan
pekerja dan keadaan organisasi. Belajarlah untuk memahami orang lain lebih-lebih lagi pekerja anda
agar semua urusan dapat diselesaikan dengan lebih pantas dan mudah.
19