Page 29 - e-Dinamik
P. 29
KEMBOJA – AKU DATANG LAGI….
Mazlina Ismail dan Rohani Jangga
Kenangan semasa mengikuti program Qurban di Kemboja beberapa tahun yang lepas masih segar
dalam ingatan. Mana mungkin aku lupa kenangan dihidangkan dengan air kelapa di ketiga-tiga
kampung yang kami pergi. Air kelapa dalam buah kelapa yang agak besar. Di kampung yang terakhir
kami kunjungi, kami dihidangkan dengan nasi dan lauk yang sudah sebati dengan kehidupan mereka.
Apa lauknya? Daging lembu Qurban dimasak cara mereka – iaitu direbus dan dicampur dengan
sedikit lada serbuk sahaja. Tiada bawang. Selain itu, kacang panjang yang dipotong dalam anggaran
sejengkal, daun salad dan timun. Tiada sambal belacan disediakan. Ada juga kepingan ikan goreng
yang diletak dalam sebuah pinggan kecil. Sudah pasti ikan itu tidak digoreng menggunakan serbuk
kunyit. Aku cubit sedikit isi ikan itu dan menyuapkannya ke dalam mulut. Tawar sahaja rasanya.
Dalam hati aku tertanya-tanya juga apa jenis ikan yang dihidangkan kepada kami. Sedang kami
menjamu selera, tiba-tiba ada seorang lelaki tempatan menghulurkan sebuah pinggan kepada kami.
Terperanjat kami dibuatnya sebab ada kepala ikan yang agak besar di atas pinggan itu. Kepala ikan
toman rupanya. Terus aku tolak pinggan itu jauh-jauh.
Tahun ini aku ke Kemboja lagi. Kali ini selain dari membawa beberapa orang pelajar, ada rakan
sekerja juga turut serta. Setelah mengadakan perbincangan tentang masakan yang akan dimasak di
sana, kami bersetuju untuk membeli beberapa bahan asas di sini. Kami membeli minyak masak,
bawang, daging dan ayam salai, sardin dalam tin, tepung gandum dan beras, gula pasir, kopi dan teh
uncang, ikan bilis, kentang, lobak merah, susu pekat, sos tomato dan cili, cili boh, kicap dan kacang
hijau. Kenapa perlu beli semua ni? Menurut seorang rakan ku yang sudah dua kali mengadakan
program khidmat masyarakat di kampung yang sama, bahan mentah untuk memasak lauk pauk yang
kena dengan tekak orang Melayu agak susah untuk diperolehi di sana. Sebenarnya kami tahu yang
minyak masak tidak dibenarkan untuk dibawa menaiki pesawat tapi disebabkan kedegilan kami, kami
masukkan juga botol minyak masak seberat lima kilogram ke dalam kotak dan dimasukkan ke dalam
kargo. Penerbangan kami adalah pada pukul 6.10 pagi jadi selepas mengerjakan solat Subuh di surau
berdekatan, kami menghampiri pintu berlepas. Aku terdengar nama kawanku dipanggil oleh seorang
pegawai syarikat penerbangan. Dia bertanya kepada kawanku itu mengenai botol minyak masak yang
telah dimasukkan ke dalam kotak. Kawanku mengangguk. Lantas pegawai itu meminta kawanku
mengikutnya. Kami yang lain berpandangan antara satu sama lain. Cemas jugak dibuatnya masa itu.
Kami berjalan masuk ke dalam pesawat dan duduk di tempat masing-masing. Beberapa minit selepas
itu kelihatan kelibat kawanku itu memasuki pesawat. Alhamdulillah, lega rasanya. Rupanya kawanku
itu diminta untuk mengenalpasti dan mengeluarkan botol minyak masak dari dalam kotak. Selepas itu,
kotak tersebut telah ditutup semula oleh pegawai tersebut dan dimasukkan ke dalam bahagian bawah
pesawat bersama-sama dengan kotak-kotak yang lain.
Kami agak terkilan akan ‘kehilangan’ botol minyak tersebut tetapi kami akur dengan peraturan yang
telah ditetapkan oleh syarikat penerbangan. Alhamdulillah, kami dapat memasak lauk-pauk yang kena
dengan selera kami hingga hari terakhir kami di kampung itu. Selain dari memasak untuk semua
peserta program ini, kami juga memberi makanan yang kami masak kepada ahli keluarga ketua
kampung kerana kami menumpang tidor di rumah mereka. Berselera sungguh mereka makan
walaupun kebanyakan makanan yang kami masak agak pedas.
20