Page 30 - e-Dinamik
P. 30
LUBUK REZEKI BAGI USAHAWAN
PERTERNAKAN IKAN SIAKAP
Jannah Munirah Binti Mohd Noor
Ditugaskan sebagai pensyarah keusahawanan bukan sesuatu perkara yang mudah. Bila mengajar
subjek keusahawanan banyak benda yang aku sentiasa tertanya-tanya, apakah diriku layak untuk
mengajar keusahawanan, mana bisa mungkin aku mengajar dari teori sedangkan dari segi prakitkal
kadang-kadang lari dari kefahaman ku sendiri. Begitu juga soalan-soalan yang dilemparkan oleh para
pelajar ku mengenai sifat keusahawanan yang sebenar. Seperti teori yang mashur Benjamin Franklin,
“Entrepreneurs is the person who are undertakes the risk and develop something”, namun jawapan ku
sekadar teori, kosong dan kadang-kadang aku tidak rasa puas dengan jawapan yang ku berikan
kepada para pelajar.
Kerana tuntutan itu, aku memohon daripada pihak atasan untuk mengadakan Latihan Industri
Keusahawanan (LIK) sewaktu cuti semester di Laguna Gong Batu, Setiu, Terengganu. Perusahaan
Peternakan ikan siakap yang terkenal di Negeri Terengganu. Aku mahu belajar bagaimana sifat
keusahawanan itu sendiri dan penat lelah mereka menghasilkan sesuatu produk. Namun, yang paling
penting bagiku adalah pengalaman yang akan aku kutip sepanjang berada disana. Mengapa aku
memilih desitinasi ini? Kerana aku teringat kata-kata seorang tokoh keusahawanan Tan Sri Ali
Hashim, mantan CEO JCorp, usahawan yang sebenar bermula dari hasil ternakan dan pertanian
kerana disitu terletak seribu kecekalan, seribu ketabahan dan seribu sumber yang di salurkan kepada
seisi alam, kerana itu aku ingin merungkai maksud tersirat beliau untuk aku jadikan sedikit bekalan
demi mendidik anak bangsa. Ku tanam maksud ini ke dalam lubuk hatiku biar azam ini tertanam agar
aku terus cekal.
Hari pertama aku sampai di tapak perusahaan, aku kagum dengan keindahan dan kejadian Allah
S.W.T, terletaknya sebuah Laguna yang terletak diperantaraan air sungai dan air laut, keajaiban yang
menjadikan ianya satu lanskap perternakan ikan laut yang amat sesuai iaitu ikan siakap dan kerapu.
Melihat keindahan kejadian Allah S.W.T , aku terpaku dan terpana dek kilauan dan kejernihan air yang
terpancar dek sinaran mentari senja dan didalamnya terdapat sekumpulan sianak ikan siakap
berenag-renang kearahku seolah-olah menyambut kedatanganku, berbekalkan sebuah komputer riba
dan beberapa peralatan komunikasi, aku memulakan tugasku,memerhati dan menulis. Hari pertama
aku disini, tidak banyak aktiviti yang dapat kulihat kerana sudah lewat petang, aku diperkenalkan
kepada Encik Johari Awang Besar dan Encik Sarif Safian, yang merupakan pengusaha yang berjaya
disini, memandu kereta Lexus RX330,berwarna hitam dan berkilat membuatkan aku yakin bahawa
disini akan aku temui jati diri seorang usahawan yang sebenar. Aku tersenyum tersendiri, tidak sabar
rasanya mahu berkongsi pengalaman dari beliau.
Sewaktu mentari mula menyising senja, aku diajak oleh Encik Sarif menaiki fiber atau lebih dikenali
sebagai bot laju, untuk ke sangkar beliau, melihat susuk tubuhnya yang tegap, aku percaya bukan
calang-calang orang yang boleh menjadi peternak ikan siakap, mesti tangkas dan cepat melawan
arus, berani meredah lautan. Lirik mataku diperhatikan lantas dia memberikan senyuman, katanya
menjadi peternak ikan siakap bukan mudah, perlu keazaman yang kuat seperti ikan-ikan dilautan yang
sentiasa berenang meredah lautan tanpa keluh dan kesah, aku tersenyum sipu, benar kataya, apatah
aku ini sering kali merungut itu dan ini sekiranya sistem pengurusan di pejabatku mengalami masalah.
Malu memikirkan bagaimana aku boleh mengajar subjek yang memerlukan jati diri yang sebenar ini.
Aku mengorak langkah menaiki bot laju ke sangkar ikan siakap, disini aku dapati lebih 30 pengusaha
ikan siakap yang terdiri dari penduduk kampung di sini, melihat kolam ternakan yang tersusun atur,
aku jadi kagum dengan binaan sangkar disini seperti mainan dadu yang terdapat kotak-kotak kecil
dipapan mainan “dam haji”. Sesuatu yang menarik perhatianku, terdapat anak-anak kecil yang begitu
berani berlari di titian kecil dan memukat anak-anak ikan di celah-celah sangkar, gembira dan
tersenyum seolah-olah mereka sudah biasa dengan kehidupan disini. Teringat zaman kecil ku ketika
memukat ikan puyu di kampung dulu, penuh dengan selut dan lintah yang merayap, tidak seperti
anak-anak sekarang, yang sibuk melayari Facebook, dan Twitter mengetahui hal orang lain tanpa
sedar yang keseronokan sendiri dipertontonkan.
21