Page 42 - eBukuProgram SEBAHTERAIPGKK2021
P. 42
KAEDAH DAN STRATEGI PdPR DALAM KALANGAN GURU BAHASA MELAYU SEKOLAH
RENDAH
Norfatihah binti Syed Ali¹ (706-27-norfatihah@epembelajaran.edu.my )
Sekolah Kebangsaan Bubul, Semporna
Rubiah binti Hamzah² (735-27-rubiah@epembelajaran.edu.my)
Sekolah Kebangsaan Sungai-Sungai, Beluran
Norhidayah binti Ishak³ ( 711-27-norhidayah@epembelajaran.edu.my )
Sekolah Kebangsaan Pekan, Lahad Datu
ABSTRAK
Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah atau PdPR merupakan satu kaedah pengajaran dan
pembelajaran masa kini yang tercetus ekoran daripada penularan wabak Covid-19 yang hampir
melumpuhkan sistem persekolahan di seluruh dunia. Malaysia juga tidak terkecuali. Oleh itu, pihak
Kementerian Pendidikan Malaysia telah mengambil pendekatan untuk menjalankan PdPR agar murid-
murid tidak ketinggalan dalam proses pengajaran dan pembelajaran mereka. PdPR yang dijalankan
secara atas talian mengundang pelbagai reaksi terutamanya dalam kalangan guru, ibu bapa, dan
murid sendiri. Rentetan daripada itu, kajian ini bertujuan untuk melihat kaedah pengajaran dan
pembelajaran sepanjang PdPR yang digunakan oleh guru terhadap penguasaan murid dalam subjek
Bahasa Melayu. Kajian ini merupakan kertas konsep yang ingin melihat sejauh manakah kaedah
pengajaran dan pembelajaran yang digunakan oleh guru-guru mampu meningkatkan kualiti murid
untuk menjadi insan yang seimbang dan berdaya saing. Hasil kajian mendapati bahawa antara kaedah
pengajaran dan pembelajaran yang sering digunakan oleh guru-guru ialah menggunakan modul,
panduan menggunakan aplikasi Whatsapp dan tayangan video. Namun demikian, kaedah-kaedah ini
dilihat belum cukup ampuh untuk melihat keberkesanannya dalam menilai tahap penguasaan murid
dalam subjek Bahasa Melayu. Oleh itu, kajian lebih mendalam terhadap kaedah-kaedah yang telah
digunakan ini sangat perlu agar dapat dijadikan garis panduan pada masa hadapan.
Kata kunci: bahasa Melayu, pdpr, kaedah, penguasaan, atas talian
PEDAGOGI TERBEZA:
KEADILAN DALAM PEMBELAJARAN ABAD KE-21
Norhayati binti Idris, BCM (alang0405@oum.edu.my)
Universiti Terbuka Malaysia, Keningau, SABAH
ABSTRAK
Pedagogi Terbeza ialah bidang kajian yang berusaha untuk memenuhi keperluan pembelajaran
murid kerana wujudnya kepelbagaian individu dalam satu bilik darjah, kepelbagaian budaya
persekitaran pembelajaran, kepelbagaian keupayaan kognitif dan berbeza kesediaan serta motivasi
untuk belajar. Konsep keadilan kepada murid menjadi landasan keutamaan dalam proses pengajran
dan pembelajaran. Program ini merupakan satu daripada 16 program di bawah Inisiatif #108
Pemartabatan Pendidikan Bahasa Melayu yang menjadikan kemahiran Pedagogi Terbeza sebagai
satu bidang tumpuan untuk dikuasai oleh guru-guru Bahasa Melayu serta bersesuaian dengan arus
dan cabaran Pembelajaran Abad Ke-21. Guru boleh melaksanakan pengajaran terbeza berdasarkan
elemen persekitaran, proses, kandungan dan produk berpandukan pola pembelajaran terbeza
dengan penerapan nilai dan kemahiran TMK mendepani cabaran norma baharu kini.
Kata kunci: Pedagogi Terbeza, Keadilan, Pengajaran dan Pembelajaran, Pola, Pembelajaran
Abad ke-21(PAK 21)