Page 41 - eBukuProgram SEBAHTERAIPGKK2021
P. 41
BAHASA SINDIRAN DALAM PEMENTASAN TEATER LENA TAK PULANG
Noorazilah binti Ibrahim (705-27-noorazilah@epembelajaran.edu.my)
IPG Kampus Keningau, SABAH
ABSTRAK
Kajian ini dijalankan untuk menganalisis bahasa sindiran yang terdapat dalam pementasan teater
Lena Tak Pulang karya Muram Batubara, olahan dan terjemahan Pena Putih. Bahasa sindiran
merujuk kepada satu bentuk kata yang mempunyai makna yang tersirat disebalik ungkapan yang
dituturkan. Makna tersirat ini menyukarkan penginterprestasian makna sesuatu ungkapan. Kajian ini
merupakan kajian yang berbentuk kualitatif dalam mengenal pasti kekerapan dan jenis bahasa
sindiran yang terdapat dalam naskah teater Lena Tak Pulang. Kajian ini memberi penekanan kepada
bahan kajian yang dikaji iaitu pementasan Lena Tak Pulang projek akhir mahasiswa Universiti
Malaysia Sabah (2018) yang diperoleh daripada laman sesawang Youtube yang telah dimuatnaik
pada 21 Jan 2021. Ungkapan ujaran yang telah dikaji telah ditranskripsikan daripada bentuk lisan
kepada bentuk penulisan. Pemilihan data dalam kajian ini dibuat berdasarkan kepada ketiga-tiga
jenis bahasa sindiran iaitu ironi, sarkastik dan sinisme.
Kata kunci: Bahasa sindiran, Ironi, Sarkastik, Sinisme, Pementasan Teater
PENERAPAN NILAI INTEGRITI DALAM KALANGAN MURID SEKOLAH MENENGAH
DI DAERAH TANAH MERAH, KELANTAN
Nor Shayaumil Qhairil Eemann (shayaumil@gmail.com)
SMU (A) Tarbiah Islamiah (SABK) Tanah Merah, KELANTAN
ABSTRAK
Nilai integriti dalam kalangan murid semakin menipis dalam jiwa mereka kerana pelbagai faktor yang
dominan berada dalam ruang lingkup kehidupan mereka. Proses pengajaran dan pembelajaran di
dalam kelas mahupun dalam talian, berkemungkinan kurang diterapkan oleh guru semasa proses
pembelajaran. Kajian ini dijalankan bertujuan untuk melihat pendekatan yang dilaksanakan oleh guru
untuk menerapkan nilai integriti dalam kalangan murid di sekolah menengah. Kaedah kajian yang
dijalankan ini mengunakan kaedah kualitatif. Kaedah penggumpulan data ialah melalui temu bual
beberapa orang guru dan murid. Dapatan kajian ini telah memberikan input bahawa kefahaman
murid masih berada pada tahap sederhana dari segi pemahaman dan amalan nilai integriti tersebut.
Amalan integriti ini perlu diterapkan kepada murid-murid melalui latihan dan bimbingan supaya
kefahaman tentang integriti ini dapat diserap dalam jiwa murid-murid ini. Nilai integriti ini sangat
penting ke arah memacu modal insan dalam kalangan rakyat Malaysia.
Kata kunci: Nilai Integriti, murid sekolah menengah, pengajaran dan pembelajaran