Page 90 - Monograf Persuratan Melayu
P. 90
Monograf Persuratan Melayu 2022
harapan, dan mempersajakan pengalaman-pengalaman kenangan yang menjadi
sebahagian daripada identiti bangsa adalah wajar sebagai siasah menanam kecintaan
bangsa terhadap bangsanya. Penyair pernah hidup dan ‘menikmati’ kesusahan hidup
masyarakat Melayu di selantan Thailand, yang boleh dijadikan teladan kepada generasi
orang Melayu di Malaysia. di samping, ia menjadi mata rantai generasi antara masa sudah
yang telah hilang wajah dan falsafahnya dengan masa akan yang sering diterjah
kedurjanaan. Hal ini sesuai dengan ungkapan hikmah, ‘tak kenal maka tak cinta,’ atau
pada pandangan sarjana: untuk melihat masa depan sesebuah negara, lihatlah pemudanya
pada hari ini. Banyak mutiara hikmah dalam UM dapat dipetik dan dijadikan iktibar dan
teladan, baik kepada remaja untuk membina dirinya mahupun golongan dewasa sebagai
siasah ‘keBANGSAannya.’
Walau bagaimanapun, terdapat juga sebilangan sajak-sajak dalam UM difikirkan
tidak berwacana dengan sasaran, khususnya bagi sajak-sajak dalam kategori kedua.
Pertama, sajak-sajak bersifat rakaman peribadi atau kefalsafahan yang tidak jelas visi-
misinya. Sajak ‘Surat Seorang Teman Yang Ditimpa Kemalangan’ (m.s. 57), ‘Aku’, (m.s.
62), ‘Dengan Nama-Mu’ (m.s. 66), ‘Engkau,’ (m.s. 71) dan lain-lain. Binaan sajak-sajak
ini berkohesi dan berkoheren dari seni sastera, namun tidak jelas siasah penyair terhadap
remaja. Perhatikan petikan contoh di bawah.
Suratnya kali ini
sekalipun bertele-tele
lagi luar biasa panjangnya
berbanding selalu
tetapi tiada apa-apa isi
selain ceritera tentang kemalangannya
teramat parah
dengan seorang gadis sekolah
anak jiran sebelah rumah sewanya.
(Sajak ‘Surat Seorang Teman Yang Ditimpa Kemalangan)
84