Page 29 - NSETERIn 2019
P. 29
Transformasi Pendidikan Penjana Kecemerlangan Insan dalam Revolusi Industri 4.0
PENGUASAAN FAKTA SEJARAH MELALUI SISTEM GERABAK
Adlina anak Sojep
Sekolah Menengah Kebangsaan Lundu, Lundu, Sarawak
adlinasojep@gmail.com
ABSTRAK
Kajian ini dilaksanakan dengan tujuan menentukan keberkesanan kaedah
pengajaran melalui penggunaan “Sistem Gerabak” dalam proses pengajaran
dan pembelajaran Sejarah. Sistem Gerabak merupakan satu kaedah
pembelajaran berpusatkan murid yang membolehkan pelajar mengendalikan
sendiri aktiviti pembelajaran selaras dengan pembelajaran abad ke-21.
Selepas mengetahui tajuk yang akan dipelajari, pelajar mencari maklumat dan
berkongsi bahan bersama rakan sekumpulan. Sesi soal jawab berlangsung
secara berterusan semasa sesi perbincangan dalam kumpulan. Pentaksiran diri
dan rakan sebaya juga dilaksanakan secara berterusan. Melalui pembelajaran
seperti ini, guru memainkan peranan sebagai fasilitator. Objektif kajian ini
adalah untuk membantu pelajar dalam meningkatkan kemahiran menguasai
fakta Sejarah. Oleh itu, pemahaman pelajar terhadap sesuatu topik dapat
dipertingkatkan. Selain itu, kajian ini bertujuan meningkatkan minat dan
interaksi pelajar mempelajari Sejarah melalui Sistem Gerabak dalam proses
pengajaran dan pembelajaran. Melalui kajian ini juga, peningkatan pencapaian
pelajar dalam ujian dan peperiksaan amat diharapkan. Seramai 38 orang
pelajar dari sebuah sekolah daerah Lundu telah dipilih sebagai responden
kajian ini. Responden merupakan calon SPM 2019 dan kelas yang mempunyai
calon paling ramai. dalam kajian ini, data dikumpul melalui pemerhatian
di dalam kelas, soalan soal selidik dan juga keputusan ujian Peperiksaan
Pertengahan Penggal (UP1) yang dijadikan sebagai ujian pra. Hasil tinjauan
dan keputusan peperiksaan menunjukkan para pelajar tidak dapat menjawab
soalan Kertas 2 Sejarah dengan baik disebabkan kesukaran mengingat fakta.
Kajian ini dijalankan semasa waktu pengajaran dan pembelajaran Sejarah.
Hasil penilaian soal selidik serta analisis keputusan ujian pos (keputusan
Peperiksaan Penggal Pertama) menunjukkan peningkatan prestasi kesemua
pelajar sasaran kajian kesan penggunaan kaedah ini dalam pengajaran dan
pembelajaran. Maklumat yang diperoleh menunjukkan peningkatan daripada
segi minat, sikap dan pencapaian murid dalam menjawab soalan Kertas 2
Sejarah dengan menggunakan kaedah ini. Secara keseluruhannya, kajian
tindakan ini dapat meningkatkan kualiti pembelajaran pelajar, meningkatkan
kemahiran terhadap penguasaan fakta serta meningkatkan minat terhadap
mata pelajaran Sejarah. Oleh itu, penggunaan Sistem Gerabak ini diharap
dapat membantu para pelajar meningkatkan prestasi dan lebih bersikap
positif terhadap pembelajaran Sejarah.
Kata kunci: Sejarah, Sistem Gerabak, Pembelajaran Abad ke-21, SPM
20 NSETERIn 2019 | Institut Pendidikan Guru Kampus Rajang, Bintangor, Sarawak