Page 132 - Nilai Shahid al-Quran
P. 132
Walau bagaimanapun, terdapat juga kajian yang menemukan tema nilai yang tidak
dipengaruhi oleh ajaran agama seperti nilai keaslian (originality), nilai reka bentuk,
nilai ukiran, nilai pengaruh budaya luar dan nilai corak walaupun kajian berkenaan
dilakukan ke atas peralatan keagamaan (Samsu Adabi, 2006). Tema nilai seperti ini
dikategorikan sebagai nilai estetika.
Daripada beberapa kajian penerokaan nilai ini, dapatlah disimpulkan bahawa
penggabungan sesuatu objek atau tema dengan perkataan nilai akan melahirkan satu
makna baharu yang positif. Ia secara tidak langsung menafikan objek atau tema itu
daripada membawa makna yang negatif. Sebagai contoh tema keadilan yang
mengandungi pelbagai tindakan, apabila digabung jalinkan dengan perkataan nilai
akan membentuk nilai keadilan, maka segala tindakan yang terkandung dalam
menuntut keadilan itu secara tidak langsung membawa makna yang baik dan
dikehendaki pula oleh manusia.
2.3.3.2 Kajian penerapan nilai
Berdasarkan Jadual 2.2 juga didapati kajian penerapan nilai dapat dilakukan sekiranya
tema-tema nilai telah sedia ada dan telah diteroka dalam sesuatu bidang. Sebagai
contoh dalam bidang matematik, satu set nilai matematik telah diterokai dalam kajian
Bishop (1988), iaitu nilai rasionalisme dan objektisme, kawalan dan kemajuan serta
keterbukaan dan misteri (Mohd Uzi, 2007). Oleh yang demikian, Mohd Uzi (2007)
dapat melakukan kajian penerapan tiga tema utama, iaitu nilai pendidikan umum, nilai
matematik dan nilai pendidikan matematik ke atas beberapa sesi PdPc guru, sama ada
secara tersurat dan tersirat.
114