Page 137 - e-Dinamik
P. 137

PENGENALAN SAINS KEPADA ANAK DI RUMAH
                                         Penulis: Shafaruniza Mahadi



     Sains merupakan matapelajaran yang boleh diperkenalkan oleh ibu bapa kepada anak-anak sejak

     mereka kecil lagi. Ibu bapa boleh memperlihatkan tanaman hijau yang ada di sekeliling dengan
     memperkenalkan jenis tumbuh-tumbuhan yang hanya hidup di darat seperti pokok-pokok bunga dan
     buah-buahan yang terdapat di sekeliling rumah dan juga yang boleh hidup di air seperti pokok teratai.



     Ibu bapa boleh bercerita kepada anak mengenai jenis-jenis daun dan akar sambil menunjukkan

     contoh ketika bercucuk tanam. Selain itu, ibu bapa boleh melakukan demonstrasi untuk menunjukkan
     kaedah pembiakan tumbuh-tumbuhan. Dengan cara ini, anak-anak akan nampak dengan lebih jelas

     akan wujudnya sains dan dapat memahami sains dengan lebih mudah dan mendalam.



     Pengkelasan haiwan seperti karnivor, omnivor dan herbivor juga boleh diajar di rumah. Apabila
     melihat burung helang, itu merupakan haiwan karnivor yang paling mudah dilihat. Haiwan peliharaan

     seperti kucing merupakan contoh haiwan omnivor manakala arnab adalah haiwan herbivor. Jelaskan
     juga kepada anak-anak mengenai kepelbagaian jenis pemakanan bagi haiwan-haiwan tersebut.

     Jika mempunyai kolam ikan di rumah, ibu bapa boleh menceritakan habitat dan populasi serta contoh
     rantai makanan yang terdapat di dalam kolam ikan ketika sedang melakukan aktiviti mencuci kolam.



     Selain itu, pembelajaran sains di rumah bertambah seronok apabila ibu bapa dapat melakukan

     eksperimen bersama anak-anak. Eksperimen menghasilkan pelangi boleh dilakukan ketika sedang
     mencuci kereta. Ibu bapa boleh bercerita mengenai proses pembentukan pelangi dan warna pelangi.



     Ibu bapa harus memberikan contoh terbaik kepada anak-anak. Ibu bapa pada hari ini lebih

     terdedah kepada teknologi dan penggunaan internet dilihat semakin meluas di kalangan mereka. Ibu
     bapa boleh menggunakan medium tersebut untuk mendapatkan maklumat berkaitan sains untuk
     dikongsi bersama anak-anak. Tiada lagi alasan tidak mahir ilmu sains kerana pada hari ini semua

     sudah ada di hujung jari. Pengenalan sains di rumah amat penting supaya anak-anak dapat berfikiran
     lebih terbuka manakala guru di sekolah akan meneruskan perbincangan dengan lebih lanjut dan

     terperinci  mengenai    skop   pembelajaran   subjek   sains  mengikut   silibus  yang   ditetapkan.




                                                                                                     128
   132   133   134   135   136   137   138   139   140   141   142