Page 33 - eBukuProgram SEBAHTERAIPGKK2021
P. 33
PEMIKIRAN KRITIS DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN
Dr. Zainab binti Nawab Khan (zainab.nawab.khan@ipgm.edu.my)
Institut Pendidikan Guru Kampus Keningau, SABAH.
ABSTRAK
Pemikiran kritis merupakan salah satu daripada elemen pembelajaran masa kini yang diberi
penekanan sebagai kemahiran berfikir genarasi alaf baharu. Kertas konsep ini dikemukakan bagi
memberi penjelasan yang lebih mendalam mengenai kemahiran berfikir aras tinggi iaitu pemikiran
kritis dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Bahagian pertama menjelaskan mengenai
definisi pemikiran kritis dan perkaitannya dengan konsep berfikir aras tinggi. Kajian literatur
mendapati terdapat isu kekeliruan mengenai konsep pemikiran kritis dan bagaimana sepatutnya
dilaksanakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Khususnya bagi proses pembelajaran
kanak-kanak di prasekolah dan di peringkat pendidikan rendah. Dua aspek konsep pemikiran
kritis yang penting dihurai secara terperinci yang berfokus kepada aspek keterampilan dan
kognitif guru. Pengkaji juga turut menyarankan pendekatan yang efektif berdasar kajian mengenai
cara pelaksanaan konsep kritis dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Pendekatan yang
boleh dilaksanakan oleh guru dalam proses pengajaran dan pembelajaran ialah kaedah penyoalan
menggunakan Taksonomi Bloom, memahami konsep KBAT secara menyeluruh, menggunakan
pendekatan konstruktivisme dan menguasai pengetahuan isi kandungan subjek yang diajar.
Kertas konsep ini diharap dapat merungkai dan menjawab persoalan yang dialami oleh guru dalam
melaksanakan konsep pemikiran kritis dengan efektif dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
Kata kunci: Pemikiran kritis, kemahiran berfikir aras tinggi, pengajaran berkualiti, pengajaran
abad ke-21
RACUN PERMAINAN “GENDANG PEREMPUAN” DALAM MELATI SARAWAK
KARYA MUHAMAD RAKAWI YUSUF
Dr.Sara Beden (sara.beden@ipgmktar.edu.my)
Institut Pendidikan Guru Kampus Tun Abdul Razak
Kota Samarahan Sarawak, Malaysia
ABSTRAK
“Gendang perempuan” merujuk kepada acara bergendang atau bermukun yang sangat popular
dalam kalangan masyarakat Melayu di Sarawak sejak zaman tradisi. Seni persembahan ini wujud
sebagai aktiviti hiburan yang unik dan mampu berfungsi untuk mengeratkan hubungan silaturahim
antara penduduk kampung selain menjadi budaya ekspresif masyarakat Melayu Sarawak.
Persembahan seni ini memaparkan daya kreatif, identiti, nilai, adat resam, kepercayaan dan sistem
hidup yang tersendiri dalam masyarakatnya. Walau bagaimanapun, seni ini turut memberikan
impak terhadap aspek moral dan sahsiah masyarakat. Oleh itu, kajian ini bertujuan untuk
mengkritik novel Melati Sarawak karya Muhamad Rakawi Yusuf. Kajian ini merupakan kajian
kualitatif sepenuhnya dengan mengaplikasikan kaedah kepustakaan dan analisis teks. Teori yang
menjadi acuan analisis ialah teori Sosiologi yang mengungkapkan sastera ialah cerminan
masyarakat. Dapatan kajian memperlihatkan bahawa “gendang perempuan” meracuni nilai
kesopanan, meracuni kemajuan bangsa serta meracuni akhlak dan sahsiah khususnya dalam
kalangan anak muda pada milieu tersebut. Penangan “racun” daripada “gendang perempuan”
dalam novel ini memberikan impak yang besar kepada kehidupan anak muda yang nipis
keimananannya sehingga menjejaskan kesihatan dan memberi kesan negatif terhadap
pekerjaannya. Kesimpulannya, teori Sosiologi yang erat hubungannya dengan masyarakat
berupaya memprojeksikan kritikan sosial terhadap permainan “gendang perempuan” yang menjadi
sumber hiburan utama masyarakat di Sarawak pada era penjajahan.
Kata kunci: gendang perempuan, meracuni, kritikan sosial, masyarakat Melayu Sarawak,