Page 34 - eBukuProgram SEBAHTERAIPGKK2021
P. 34
DIALEK MELANAU MATU: ANALISIS PENYUSUNAN SEMULA AYAT TUNGGAL
BERDASARKAN TEORI TRANSFORMASI GENERATIF
1
Elma Diana Julkapli (elma23-380@pembelajaran.edu.my)
2
Melvina Chung Hui Ching (melvina.chung@ipgmktar.edu.my)
Institut Pendidikan Guru Kampus Tun Abdul Razak
Jalan Dato’ Mohd Musa, 94300 Kota Samarahan,
SARAWAK.
ABSTRAK
Dialek Melanau di daerah Matu, Sarawak seperti bahasa Melayu dapat memperlihatkan transformasi
dalam ayat. Oleh itu, penyusunan semula merupakan satu kaedah yang membolehkan struktur
sesuatu ayat itu ditransformasi ke dalam bentuk yang baharu tanpa menjejaskan makna asal ayat
tersebut. Penyusunan semula ayat ini dapat dianalisis menggunakan teori yang dipelopori oleh Noam
Chomsky (1957), iaitu Teori Transformasi Generatif (TG). Sehubungan dengan itu, kajian ini mem-
fokuskan kepada tiga jenis penyusunan semula ayat, iaitu penyusunan semula frasa nama sebagai
subjek, penyusunan semula frasa nama sebagai objek, dan penyusunan semula melalui ayat
songsang. Kajian ini dijalankan bertujuan untuk menganalisis penyusunan semula ayat tunggal dalam
dialek Melanau Matu. Selain itu, dalam transformasi ayat juga dikaji dari aspek struktur dalaman dan
struktur permukaan. Oleh hal yang demikian, sebanyak tiga ayat tunggal dalam dialek Melanau Matu
telah dipilih untuk dianalisis. Kajian ini menggunakan kaedah kualitatif, iaitu kaedah kepustakaan dan
analisis teks ayat. Dapatan kajian menunjukkan bahawa Teori TG dapat digunakan untuk
menganalisis penyusunan semula ayat tunggal dalam dialek Melanau Matu secara terperinci dan
menyeluruh. Kesimpulannya, Teori TG dapat digunakan untuk menganalisis ayat dalam kebanyakan
bahasa di dunia.
Kata kunci: Penyusunan semula, Teori transformasi generatif, Dialek Melanau Matu, Struktur
dalaman, Struktur permukaan
CITRA KEINDAHAN PUISI KLASIK ENDOI : APRESIASI PUITIKA SASTERA MELAYU
1
Frada Dea Linggi (frada23-343@epembelajaran.edu.my)
2
Muhd Syafiq Farhan Mohammad (muhd23-356@epembelajaran.edu.my)
3
Sara Beden (PhD) (sara.beden@ipgktar.edu.my)
Institut Pendidikan Guru Kampus Tun Abdul Razak
Kota Samarahan, SARAWAK .
ABSTRAK
Kekayaan khazanah puisi Melayu diwarnai oleh unsur keindahan yang mewakili peri ketinggian daya
pemikiran pengarang Melayu dalam penghasilan puisi tersebut. Kualiti dan nilai karya sastera diukur
berdasarkan citra keindahan yang berupaya mempengaruhi jiwa seseorang di samping mempunyai
kuasa penyembuhan dan manfaat kepada khalayak. Keindahan merupakan entiti pokok dalam
sistem kesusasteraan Melayu yang bertujuan untuk mengangkat nilai estetika bagi sesebuah karya
kesusasteraan. Justeru, makalah ini bertujuan untuk menganalisis nilai-nilai keindahan dalam puisi
Melayu, iaitu endoi yang bertajuk Ucapan Mencukur Rambut Budak Kecil (UMRBK). Makalah ini
mengaplikasikan kaedah kualitatif sebagai landasan kajian melalui kaedah analisis teks. Teori yang
menjadi landasan kajian ini ialah Teori Puitika Sastera Melayu (1989) oleh Muhammad Hj Salleh
yang menggagaskan lima teras keindahan. Dapatan analisis menunjukkan bahawa endoi UMRBK
menepati kelima-lima teras yang digarapkan dalam Teori Puitika Sastera Melayu. Puisi endoi ini
memaparkan nilai-nilai keindahan yang mencerminkan keunggulan sifat estetikanya menerusi
sususan kata dan unsur dakwah yang terkandung dalam puisi tersebut. Intihanya, Teori Puitika
Sastera Melayu berupaya menyirati makna keindahan dalam endoi UMRBK sekali gus menyumbang
kepada pembentukan muslim yang sejati.
Kata kunci: Teori Puitika Sastera Melayu, endoi, keindahan, mesej, penceritaan