Page 35 - eBukuProgram SEBAHTERAIPGKK2021
P. 35
ISLAMISASI PAKAIAN TRADISIONAL KAUM KADAZAN, DUSUN DAN MURUT: SUATU TIN-
JAUAN DI NEGERI SABAH
Hairon bin Zainal Abidin¹ (hairon74@yahoo.com)
Saidah Khadijah binti Ahmad Ed.D² (saidahkhadijah.ahmad@ipgm.edu.my)
Phyllis Lim @ Nurain Shahira Lim Abdullah³ ( Phyllis27-33@epembelajaran.edu.my)
Institut Pendidikan Guru Kampus Keningau, SABAH.
ABSTRAK
Proses Islamisasi kehidupan kaum-kaum di Sabah terus berlaku seiring dengan pertambahan
kemasukan mereka ke dalam agama Islam. Selain daripada perubahan gaya hidup, perubahan dari
sudut pemakaian pakaian tradisional mereka juga telah berlaku. Tulisan ini cuba menyingkap sejauh
manakah perubahan pakaian tradisional kaum Kadazan, Dusun dan Murut telah dilakukan dalam
usaha untuk memenuhi kehendak dan ketetapan hukum syarak mengenai pakaian. Kajian ini
dilakukan secara kualitatif iaitu dengan mengambil maklumat secara terus daripada wakil-wakil
setiap kaum, persatuan-persatuan kaum Sabah, Jabatan Mufti Negeri Sabah dan sebagainya.
Manakala ketetapan hukum syarak adalah berdasarkan mazhab Syafii sebagai asasnya. Kajian ini
mendapati bahawa satu usaha yang bersungguh-sungguh telah dilakukan oleh setiap kaum dengan
melakukan pelbagai reka bentuk yang baru. Walau bagaimanapun, satu kajian yang lebih
menyeluruh perlu dilakukan untuk melihat sejauh manakah perubahan-perubahan yang dilakukan itu
dapat diterima dan diserap dalam setiap kaum berkenaan.
Kata kunci: Islamisasi, pakaian tradisional, Kadazan, Dusun, Murut.
PENGGUNAAN TEKNIK PENYOALAN SOKRATIK (SOCRATIC METHOD OF QUESTIONING)
DALAM MEMPERKASAKAN IMBUHAN PELAJAR
Hasnah Hassan¹ (jva180008@siswa.um.edu.my)
Nurul Haniza Samsudin² (haniza_85@um.edu.my)
Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya, MALAYSIA
ABSTRAK
Penguasaan imbuhan yang lemah dalam kalangan pelajar 2E2NASBB menjadi keprihatinan guru-
guru. Kelemahan ini secara tidak langsung menjejaskan keupayaan mereka menjawab soalan-
soalan peperiksaan berkaitan imbuhan, terutamanya semasa menjawab peperiksaan di peringkat
nasional. Oleh itu, terdapat keperluan menguasai imbuhan bagi tujuan mempelajari bahasa Melayu.
Dalam kajian ini, pengkaji telah memperkenalkan Teknik Penyoalan Sokratik bagi membantu pelajar
menguasai imbuhan. Teknik ini menitikberatkan penggunaan imbuhan yang tepat dengan cara
memahami teks. Teknik ini merupakan salah satu Amalan Pengajaran Singapura (Singapore
Teaching Practices) yang menggunakan soalan dalam usaha melaksanakan pengajaran dan
pembelajaran. Kajian tindakan telah dipilih sebagai reka bentuk kajian. Pada masa yang sama,
tingkah laku pelajar semasa menggunakan imbuhan diperhatikan, di samping mengumpul data-data
kuantitatif. Kajian ini hanya melibatkan pelajar-pelajar menengah 3 di salah sebuah sekolah
menengah di Singapura. Dapatan kajian menunjukkan peningkatan pencapaian dalam kalangan
pelajar yang menjadi subjek kajian setelah Teknik Penyoalan Sokratik dijalankan. Implikasi kajian ini
telah membuka jalan untuk para guru mengaplikasikan pengajaran dan pembelajaran menggunakan
pelbagai teknik dan imbuhan selain meN-… yang menjadi bahan kajian ini. Tema dan teks yang
dipilih sebagai soalan juga harus diberi perhatian agar teknik ini berjaya diaplikasikan serta mencapai
objektif kajian yang ditetapkan.
Kata kunci: Teknik Penyoalan Sokratik, Kajian Tindakan, imbuhan, kajian bilik darjah