Page 38 - Dimensi Baharu Zakat di Malaysia
P. 38
© DIMENSI BAHARU ZAKAT DI MALAYSIA
ISBN 978-967-2959-04-5
pemilik selagi mana usaha atau aktiviti pendapatannya masih
berlangsung (Ibid.,:11:41). Dalam konteks kelancaran ekonomi,
Islam telah mengharamkan riba dan menyuburkan sedekah-sedekah
termasuk zakat. Ini disebabkan pelbagai fungsi positif zakat akan
tercetus apabila dijayakan berbanding fungsi riba yang mematikan
sedekah dan melambangkan kejahatan musyrik (Ibid.,1982:2:69).
Ketika mentafsirkan ayat 5 dan 11 surah al-Taubah, HAMKA
menonjolkan perspektif tentang tuntutan zakat kepada seseorang
yang baru memeluk Islam meskipun ia pernah memerangi Islam.
Beliau menyatakan bahawa tanda perubahan seseorang yang
memeluk Islam ialah ia membuktikan syahadah dengan menunaikan
solat dan zakat. Individu ini termasuk dalam kelompok yang tidak
boleh diperangi sama sekali setelah tamat bulan-bulan haram
berperang iaitu Dzu al-Qa`idah, Dzu al-Hijjah, Muharram dan
Rajab meskipun keislamannya belum mantap dan permusuhan
dengan Islam begitu dahsyat pada masa kekafiran
(Ibid.,1985:10:98). Perbuatan solat dan zakat dikira sebagai
sebahagian taubat bagi mereka yang begitu tegar memerangi Islam.
HAMKA mengiktiraf mereka ini sebagai rakan seagama yang benar
dan menandakan permusuhan sudah tamat (Ibid.,:10:118). Beliau
berpendapat, puluhan ribu manusia yang memeluk Islam selepas
peristiwa Fath Makkah dan perang Hunain sudah pasti menunaikan
agenda kewajipan Islam ini. Natijahnya mereka semua menjadi
saudara seagama pada zaman Rasulullah s.a.w. (Ibid.,:10:118).
Aktiviti Zakat Tanpa Sentimen Bakhil
Menurut HAMKA, kewajipan solat dan zakat berfungsi sebagai
pembersihan jiwa. Solat menatijahkan hati yang bersih dan khusyuk
manakala zakat menghilangkan penyakit bakhil. Kewajipan zakat
ini turut berperanan memperdalamkan iman seseorang. Justeru,
seseorang yang tidak menunaikan zakat maka ia dikira bersifat
bakhil dan dianggap tidak benar-benar beriman (Ibid.,1982:1:189).
Ketika mentafsirkan ayat 103 surah al-Taubah, HAMKA
mengungkapkan Islam diturunkan bukan bertujuan untuk
menghapuskan naluri memiliki harta tetapi diturunkan untuk
mengubat jiwa dengan kewajipan zakat terhadap sebahagian kecil
29
29