Page 83 - Dimensi Baharu Zakat di Malaysia
P. 83
© DIMENSI BAHARU ZAKAT DI MALAYSIA
ISBN 978-967-2959-04-5
Ketiga: Pandangan Fuqaha
Ulama berbeza pandangan hukum bagi “al-nabbash” sama ada
dikenakan hukuman hudud iaitu potong tangan ataupun hanya
dikenakan hukuman ta‘zir daripada pemerintah. Punca perbezaan
bagi masalah ini adalah pada mengatakan bahawa adakah “al-
nabbash” merupakan afrad bagi istilah “al-sariqah” ataupun ia
mempunyai definisi dan hakikat yang berbeza. Hal ini kerana, asal
yang dinyatakan secara spesifik hukuman bagi hudud memotong
tangan adalah pada “pencuri atau al-sariq” iaitu pada ayat al-Quran:
“Dan orang lelaki yang mencuri dan orang perempuan yang
mencuri maka (hukumnya) potonglah tangan mereka
sebagai satu balasan dengan sebab apa yang mereka telah
usahakan, (juga sebagai) suatu hukuman pencegah dari
Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa, lagi Maha
Bijaksana.”(Surah al-Maidah : 38)
Namun, mujtahid berijtihad mengenai elemen-elemen yang
menjadi hakikat bagi al-sariqah pada keumuman ayat ini. Di antara
syarat bagi memenuhi sesuatu kecurian itu adalah harta yang dicuri
berada pada tempat yang dijaga. Syarat yang diletakkan ini
berdasarkan hadith nabi SAW yang berbunyi:
“Tidak ada hukuman potong tangan pada buah yang masih
tergantung dan yang terjaga di pagar pergunungan. Jika di
tempat berlindungnya haiwan ternak atau tempat
penumbukan padi, maka hukuman potong tangan berlaku
sekiranya barang yang dicuri mencapai harga perisai.”
(Hadis 22, Riwayat Malik bin Anas)
Daripada syarat yang dibincangkan ini, wujud persoalan yang
datang bagi masalah pencuri kain kafan atau “al-nabbash” iaitu
adakah kubur boleh dianggap tempat perlindungan yang disebutkan
oleh baginda SAW.
74
74