Page 151 - Dimensi Baharu Zakat di Malaysia
P. 151
© DIMENSI BAHARU ZAKAT DI MALAYSIA
ISBN 978-967-2959-04-5
PERBAHASAN HUKUM ISLAM TERHADAP ZAKAT
HUTANG
Pemilikan penuh merupakan antara syarat harta yang dizakatkan
(Jam‘iyyah Dar al-Kitab wa al-Sunnah, t.t.). Harta yang perlu
dizakatkan juga hendaklah melebihi keperluan asasi (al-Kasani,
2003) kerana asasnya ia terkeluar dari konsep al-nama’. Berasaskan
dua syarat ini timbul persoalan adakah harta di dalam bentuk hutang
dikenakan zakat. Namun perlu diperjelaskan bahawa hutang perlu
dibahagikan kepada dua keadaan iaitu hutang yang berada ditangan
orang (pemilik sebagai pemiutang) dan hutang yang ditanggung
(pemilik sebagai penghutang). Bahagian ini akan membincangkan
kesan kedua-dua keadaan hutang tersebut atas kewajipan zakat.
Hutang yang ditanggung oleh pemilik harta memberi kesan
kepada kewajipannya untuk mengeluarkan zakat. Ini kerana orang
yang berhutang mempunyai tanggungan harta lain yang perlu
dilunaskan selain mengeluarkan zakat. Sebelum perbincangan
dilanjutkan, perlu difahami bahawa hutang yang dimaksudkan
adalah hutang yang wajib dibayar dalam tahun zakat wajib dibayar
(al-Maqdisi, 1997). Mengenai isu ini terdapat dua pandangan:
Pandangan pertama menyatakan bahawa hutang yang
ditanggung akan menghalang kewajipan zakat. Ia bermakna zakat
tidak dikenakan pada harta yang pemiliknya memiliki hutang yang
perlu dibayar dan jumlah hutang tersebut menjejaskan nisab ataupun
mengurangkannya (al-Maqdisi, 1997; Ibn ‘Abidin, 1992). Namun
sekiranya harta miliknya lebih banyak daripada jumlah hutang dan
melebihi nisab hendaklah dia mengeluarkan zakat baki hartanya
setelah ditolak jumlah hutang.
Pendapat ini merupakan pendapat dalam mazhab Hanbali, al-
Nakha‘i, ‘Ata’, al-Hasan, Tawus, al-Thawri, Maymun bin Mihran,
al-Layth, Malik, al-Awza‘i, Ishaq, Abu Thur, Ashab al-Ra’y, al-
Syafi‘i dalam pendapat qadim (al-Nawawi, 2003; al-Maqdisi, 1997,
al-Mawardi, 1994). Pendapat inilah yang ditarjih oleh Ibn Rusyd,
Abu ‘Ubayd, ‘Abd al-Rahman al-Sa'di (al-Qarafi, 1994). Hujah
golongan ini antaranya adalah sabda Rasulullah SAW:
141
142